Tawau: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) sentiasa memberi komitmen sepenuhnya untuk mengawal keselamatan di negeri ini khususnya di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) termasuk melaksanakan pemeriksaan.
Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, ia termasuklah pemeriksaan fizikal terhadap lebih 5.2 juta orang, kenderaan dan bot sejak 1 Januari 2020 sehingga 28 Februari lalu.
Berikutan itu katanya, Sabah telah berjaya merekodkan kes penculikan sifar sejak 15 Januari 2020.
Menurutnya lagi, seramai 1,907 orang berjaya ditahan manakala 1,118 buah kenderaan serta bot dirampas atas pelbagai kesalahan.

Tambahnya lagi beliau berkata, ESSCOM juga berjaya menangani jenayah penyeludupan barang dan Pendatang Tanpa Izin (PATI) yang merangkumi jumlah nilai rampasan bernilai RM90 juta.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan untuk tempoh yang sama bernilai RM90 juta di mana penyeludupan barang kawalan dan tidak bercukai berjumlah RM55 juta adalah yang tertinggi.
“Rampasan dadah dan barang milik PATI masing-masing menyumbang kepada jumlah keseluruhan sebanyak RM34.4 juta.
“Manakala, seramai 1,890 orang PATI dan 294 buah kapal atau bot yang cuba masuk secara haram melalui kawasan sempadan perairan negara telah diusir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Ihya Ramadan di sini.
Program kolaborasi ESSCOM, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Sabah itu menyantuni 30 orang golongan asnaf, anak yatim dan mangsa kebakaran di sekitar kg Baru Pasir Putih di Masjid Al Falah, Kg. Baru Pasir Putih di sini.
Dalam pada itu, beliau yang menyampaikan teks ucapan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata selain menjadi wadah rapatkan ukhwah, program tersebut menjadi platform membantu mereka yang kurang bernasib baik dalam menjalani ibadah puasa.
“Majlis ini bukan sekadar satu acara berbuka puasa tetapi ia juga menjadi wadah untuk kita memperkukuhkan semangat persaudaraan dan kebersamaan.
“Lebih daripada itu, sempena bulan yang penuh berkat ini, kita diseru untuk melakukan amal kepada golongan yang kurang bernasib baik dan atas sebab itu program ini turut diselitkan dengan penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf, anak yatim, dan mangsa kebakaran.
“Ini selari dengan tuntutan Islam yang menggalakkan kita membantu mereka yang memerlukan khususnya dalam bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya.