PAPAR: Hakisan tanah akibat fenomena air laut pasang besar yang sering berlaku di sekitar Palm Beach Villa, Papar, mendapat perhatian pihak berkuasa apabila Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan untuk pembinaan tembok penahan bagi mengatasi masalah tersebut.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, yang turun padang meninjau keadaan semasa petang kelmarin, berkata bahawa langkah intervensi ini diambil selepas menerima aduan daripada penduduk yang menetap berhampiran kawasan terjejas.
“Ekoran fenomena air laut pasang besar yang sering berlaku, hakisan tanah di kawasan Palm Beach Villa semakin membimbangkan. Petang Kelmarin, saya turun padang untuk meninjau keadaan semasa berikutan aduan yang diterima daripada segelintir penduduk yang menetap berhampiran kawasan ini,” katanya menerusi satu kenyataan di laman facebook Pejabat YB Armizan yang dimuatnaik hari ini.
Menurutnya, sebagai langkah intervensi, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan untuk pembinaan tembok penahan (retaining wall) sebagai solusi kepada isu hakisan ini.
“Saya akan terus memantau pelaksanaan projek ini dan memastikan ia diselesaikan mengikut jadual yang ditetapkan,” tambah beliau.