Putatan : Tanah terbiar milik Kerajaan negeri akan dipertimbangkan untuk digazetkan bagi tujuan membangunkan penempatan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia bertujuan bagi menghimpunkan penerima bantuan tersebut di suatu kawasan tertentu dan bersesuaian.
Bagaimanapun katanya, usaha itu akan dilakukan mengikut keperluan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berikutan terdapat penerima yang layak, namun tidak memiliki tanah sendiri.
“Ada kawasan-kawasan tertentu di Sabah, terutama di pinggir bandar dan bandar, banyak kemiskinan. Tetapi mereka tidak ada satu kawasan ataupun tapak rumah mereka.
“Jadi macam di Petagas ini, mereka ada satu kawasan dan kawasan itu akan dihimpunkan mungkin beberapa penerima SMJ ini untuk mereka membina rumah mereka. Kalau itu tanah kerajaan, insya Allah kita akan pertimbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Jelajah Kasih Ramadan DUN Petagas di perkarangan Masjid Nur Al Jannah di sini semalam.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya mencadangkan Rumah Mesra SMJ bertingkat antara 100 hingga 200 unit dicadang untuk dibina di daerah ini.
Katanya, ia adalah bagi mengatasi masalah tanah dihadapi pemohon rumah yang diinisiatifkan kerajaan Sabah itu.
Justeru beliau mencadangkan agar kerajaan negeri meluluskan cadangan berkenaan yang dilihat mendapat permohonan yang tinggi daripada golongan berpendapatan rendah di Putatan namun ketiadaan tanah menyukarkan penduduk yang layak mendapatkan rumah berkenaan.
“Sekarang konsep Rumah Mesra SMJ ini adalah rumah sebuah, jadi kawasan di bandar dan pinggir bandar seperti Tanjung aru, Putatan, Luyang yang mana kawasan tanah untuk dibuat rumah menjadi satu kekangan.
“Di Putatan ini pula, ramai pemohon di kawasan Tanjung Keramat dan Petagas tetapi mereka tiada kemampuan untuk menyediakan tanah sebagai tapak Rumah Mesra SMJ itu.
“Jadi, adalah elok sekiranya kerajaan dapat mengenal pasti sebidang tanah yang boleh dibangunkan untuk konsep Rumah Mesra SMJ secara bertingkat,” katanya.
Terdahulu, Pada majlis itu, lebih 400 penerima terdiri fakir, ibu tunggal, warga emas dan anak yatim, serta 20 penerima rumah mesra SMJ dalam kawasan DUN Petagas menerima bantuan dalam majlis ini. – SABAH MEDIA