HomeUtamaKPT pastikan tiada mahasiswa tercicir - Mustapha

KPT pastikan tiada mahasiswa tercicir – Mustapha

Read Time:1 Minute, 34 Second

Kota Kinabalu : Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus berusaha sebaik mungkin bagi memastikan tiada mahasiswa yang tercicir melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata, pelbagai inisiatif dilaksanakan KPT termasuk memberi bantuan dari segi kewangan kepada pelajar berkelayakan.

Katanya, menerusi inisiatif itu ianya dapat memudahkan pelajar untuk tidak perlu lagi menanggung beban kewangan semasa pengajian dan hutang pinjaman yang tinggi selepas pengajian.

“Pada majlis ini, KPT turut penyampaikan  bantuan Program Pembangunan Siswa Sulung 3.0 atau SULUNG yang merupakan satu program di bawah Kementerian dilaksanakan bagi membantu anak pertama yang berjaya masuk ke IPTA daripada keluarga B40.

“Program ini, memberi bantuan dari segi kewangan kepada pelajar berkelayakan yang akan menerima pengecualian pembayaran yuran di IPTA.

“Jadi itu yang kita cuba usahakan sebaik mungkin supaya tidak ada mahasiswa kita yang tercicir disebabkan masalah kewangan, ini antara inisiatif Kementerian melalui universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Iftar Mahabbah Pendidikan Tinggi @ Sepanggar di Masjid Bandaraya di sini semalam.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, pihaknya sangat berbangga melihat penglibatan ekosistem KPT dan masyarakat setempat dalam program seumpama itu.

“Inilah tanda bahawa kerajaan Madani menunjukkan sikap keprihatinan yang tinggi terhadap masyarakat dan bangsa. Saya percaya bahawa setiap tindakan kita, sekecil mana pun, jika dilakukan dengan ikhlas, akan memberikan impak yang besar kepada mereka yang memerlukan.

“Saya juga ingin menyeru kepada semua mahasiswa dan mahasiswi untuk terus memperkukuhkan nilai-nilai murni ini dalam kehidupan seharian.

“Ingatlah bahawa sebagai generasi muda yang bakal memimpin negara, para mahasiswa mempunyai tanggungjawab besar bukan hanya kepada diri sendiri, tetapi juga kepada masyarakat dan negara tercinta ini.

“Usaha kecil yang kita lakukan hari ini akan membawa perubahan besar di masa depan. Saya ingin menekankan betapa pentingnya peranan mahasiswa sebagai agen perubahan di dalam masyarakat. Para mahasiswa adalah pemimpin masa depan negara dan merupakan aset penting dalam pembangunan negara kita,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Tambahan kouta data minimum 5GB diberikan sempena Aidilfitri

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular