Oleh FLORIETA DIET
PUTATAN: Seramai 100 penghantar p-hailing menerima sumbangan baucar minyak petrol bernilai RM50 dan satu pek kurma dalam program Jom Balik Raya.
Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berharap sumbangan itu dapat memberi sedikit kelegaan kepada penghantar p-hailing yang banyak berjasa dalam memastikan kelancaran penghantaran barangan dan makanan kepada masyarakat.
Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat menyampaikan sumbangan itu di dua lokasi iaitu di stesen Petronas Kinarut sebelum diteruskan di stesen Shell Putatan.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan mereka tentang kepentingan keselamatan di jalan raya.
“Peringatan kepada semua penghantar p-hailing agar sentiasa berhati-hati di jalan raya, menjaga kesihatan serta keselamatan, terutamanya dalam musim perayaan ini.
“Bagi mereka yang pulang ke kampung, kita doakan agar mereka selamat sampai dan dapat beraya bersama keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan program tersebut di sini, hari ini.