SANDAKAN: Seramai 26 pegawai dan anggota Batalion 15 Pasukan Gerakan Am (PGA) menerima sijil penghargaan sempena Perhimpunan Hari Polis ke-218 yang diadakan pada Selasa.
Majlis penghargaan ini berlangsung di perkarangan Ibu Pejabat Batalion 15 PGA, Jalan Lintas Labuk, Batu 8, dan dihadiri oleh Pegawai Pemerintah (PP) Batalion 15, Superintendan Ijid Landu Binju. Turut hadir ialah Penolong Pegawai Pemerintah, Deputi Superintendan Ambrus Mohd Ali, serta pegawai-pegawai lain.
Penerima sijil penghargaan Komander Briged Sabah seramai lima orang didahului oleh Inspektor Muhammad Zareef Abdul Rajak manakala penerima sijil penghargaan PP Batalion 15 seramai 21 orang pula didahului oleh Inspektor Faisal Salleh.
Perhimpunan itu turut menyaksikan penyampaian Perutusan Ketua Polis Negara serta lafaz ikrar Rukun Negara dan Taat Setia.
Acara diserikan dengan nyanyian lagu kebangsaan “Negaraku”, diikuti lagu negeri Sabah “Sabah Tanah Airku”, serta lagu pasukan polis “Sang Saka Biru”, “Cekal, Berani, Setia” dan “Sedia Berkhidmat”.