Kota Kinabalu : Sebanyak 500 pek bubur lambuk berjaya diagihkan sempena program edaran bubur lambuk percuma yang diadakan di KK Sentral di sini baru-baru ini.
Program bertujuan bagi mengeratkan silaturahim antara masyarakat, selain menerapkan nilai berkongsi rezeki bersama golongan yang memerlukan itu dianjurkan PUSPANITA Cawangan Daerah Kota Kinabalu (CDKK) dengan kerjasama DBKK Holdings Sdn. Bhd. (DBKKH) dan Leading Innovative Technologies & Systems (LiTS).
Sesi agihan disempurnakan Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah yang turut disertai Timbalan Pengerusi PUSPANITA CDKK Hana’aifah Suhaili.

Menerusi program itu, pek bubur lambuk telah diedarkan kepada kakitangan DBKKH Sdn. Bhd. yang sedang bertugas, penumpang bas yang bertolak ke Keningau, pengusaha-pengusaha Pusat Kraftangan serta orang awam di sekitar KK Sentral.
Pada sesi agihan itu, Sabin turut meluangkan masa untuk beramah mesra bersama para penumpang di sekitar Terminal Bas KK Sentral dan pengusaha-pengusaha di Pusat Kraftangan KK Sentral. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK