Kota Kinabalu : Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali akan membuat laporan polis terhadap pihak yang cuba mengaitkan dirinya dengan skandal rasuah di negeri ini.
Menerusi kemaskini di Facebooknya semalam, Ahli Parlimen Papar itu berkata, beliau telah menerima satu kiriman hantaran melalui Whatsapp yang tidak benar terhadapnya semalam.
“Saya dimaklumkan ada mesej fitnah diviralkan yang, antara lain, melibatkan nama saya di bulan Ramadan ini.
“Syukur salah seorang yang menyebarkan fitnah dalam bentuk cerita dongeng ini dikenal pasti sebagai mantan wakil rakyat yang menghantar mesej tersebut kepada pelbagai pihak yang kemudiannya merujuk kepada saya.
“Sementara menunggu nasihat daripada peguam, saya akan mulakan dengan laporan polis berdasarkan kepada mesej melalui WhatsApp yang beliau hantar,” katanya.
Namun Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu tidak menamakan bekas wakil rakyat berkenaan.
Beberapa hantaran di Facebook merujuk seseorang yang dikenali sebagai “Datuk Z” mendakwa Ahli Parlimen itu terlibat dalam rundingan antara sebuah syarikat di Indonesia dan Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) berhubung lesen carigali mineral di negeri itu.