HomeUtamaJKDM catat kutipan cukai tidak langsung melebihi sasaran tahun lalu

JKDM catat kutipan cukai tidak langsung melebihi sasaran tahun lalu

Read Time:1 Minute, 21 Second

Kota Kinabalu : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mencatatkan kutipan hasil cukai tidak langsung sebanyak RM65.57 bilion pada tahun lalu iaitu melebihi sasaran asal RM56 bilion yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan. 

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin @ Zainuddin berkata kejayaan itu didorong oleh kerjasama erat antara JKDM dan agensi-agensi kerajaan Negeri Sabah dalam memperkukuh fasilitasi perdagangan dan pemantauan hasil cukai. 

“Salah satu faktor kejayaan ini adalah hubungan baik dengan kerajaan negeri Sabah serta agensi berkaitan yang banyak membantu dalam aspek kutipan hasil dan penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini semalam.

Anis berkata, JKDM telah menyusun strategi lebih berkesan bagi mempertingkatkan penguatkuasaan, khususnya dalam membanteras aktiviti penyeludupan di negeri ini.

“Sabah mempunyai keluasan yang besar serta bersempadan dengan negara jiran seperti Indonesia dan Filipina. Ini memberi cabaran kepada pihak Kastam, namun kami akan terus memperkukuhkan kawalan dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan,” katanya.

Tambahnya, sepanjang dua bulan pertama tahun ini, JKDM Sabah mencatatkan peningkatan lebih 10 peratus dalam aktiviti penguatkuasaan dan usaha ini akan terus dipertingkatkan bagi mengekang sebarang ketirisan hasil negara. 

Dalam kunjungan hormat itu Anis yang diiringi Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah Saidin Jalaludin turut bertukar pandangan dengan Tun Musa berkaitan pengurusan tata kelola yang baik terutama kepentingan ketelusan, kecekapan serta integriti dalam pentadbiran dan pengurusan hasil.

Anis mencipta sejarah apabila dilantik sebagai Ketua Pengarah Kastam wanita pertama bermula 25 September 2023 hingga kini.

RELATED ARTICLES
Utama

ACEM digesa pastikan jurutera perunding berkelayakan dan berpengalaman – Dr. James

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular