Putatan: Kempen keselamatan jalan raya terus dilaksanakan secara berterusan khususnya pada musim perayaan bagi meningkatkan lagi kesedaran pengguna terutama di laluan yang sesak.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, Kerajaan turut serius dalam usaha memastikan keselamatan pengguna jalan raya sepanjang musim perayaan selain mengurangkan kadar kemalangan di negeri ini.

“Pada musim perayaan kali ini, laluan Lok Kawi – Kota Kinabalu dipilih kerana ia merupakan kawasan yang sibuk. Mengikut statistik, dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini sahaja, sebanyak 1,500 kes kemalangan telah direkodkan termasuk 15 kes maut. Ini adalah satu perkara yang perlu diberi perhatian.
“Semasa musim perayaan, jumlah aliran trafik sememangnya meningkat. Oleh itu, kempen keselamatan ini diadakan bagi menyedarkan serta mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Ramdan dan Sambutan Perayaan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Sabah Tahun 2025 di Jalan Meruntum, Putatan di sini semalam.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya menggesa para pengguna jalan raya supaya berhati-hati di jalan raya terutamanya di jajaran Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang masih dalam fasa pembinaan.
“Di Sabah, terutamanya di jajaran Lebuhraya Pan Borneo yang masih dalam fasa pembinaan, terdapat pelbagai kerja-kerja pembinaan sedang berlangsung. Papan tanda had laju serta penghadang keselamatan telah dipasang di bahu jalan.
“Oleh itu, saya menyeru kepada pengguna jalan raya agar mematuhi papan tanda yang disediakan demi keselamatan mereka,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta memeriksa tahap kesihatan diri sebelum memulakan perjalanan jauh pulang ke kampung halaman.
“Minggu ini adalah minggu terakhir Ramadan dan ramai dijangka akan mula bergerak pulang ke kampung. Oleh itu, pastikan kenderaan dalam keadaan baik dan sekiranya berasa penat, berehatlah seketika sebelum meneruskan perjalanan,” katanya.
Dalam program tersebut, beliau turut mengagihkan bakul tangan yang mengandungi kit segitiga keselamatan jalan raya,peti pertolongan cemas dan risalah keselamatan jalan raya kepada 70 pemandu kereta.
Selain itu, sebanyak 50 topi keledar turut diberikan kepada penunggang motosikal sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kesedaran tentang kepentingan keselamatan jalan raya.
Hadir sama, Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Limus Jury dan Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Robert Tawik.