Kota Kinabalu : Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menerima zakat perniagaan berjumlah lebih RM2.9 juta membabitkan 10 buah agensi perniagaan di sini semalam.
Penyerahan zakat perniagaan itu diserahkan kepada Yang Dipertua MUIS Datuk Seri Yahya Hussin dan disaksikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Majlis yang diadakan sempena Program Mutiara Kasih Ramadan dan Sinar Tinta Mahrajan itu turut dihadiri isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah Toh Puan Faridah Tussin dan isteri Ketua Menteri Datin Seri Juliah Salag.
Antara agensi yang terlibat menyerahkan zakat perniagaan itu termasuklah TM Technologies Services Sdn Bhd (RM509,262); Agrobank (RM500,000); Bank Muamalat (RM452,515.24); Takaful Malaysia (RM400,000) dan Lembaga Koko Malaysia (RM328,175.49).
Selain itu, turut menyerahkan zakat perniagaan Affin Islamic Bank Berhad (RM300,000); Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) (RM198,4040.64); Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) (RM100,000); Zirbad Resources Sdn Bhd (RM100,000) dan KPJ Sabah Specialist Hospital (RM60,000).
Pada majlis itu juga, turut disampaikan sumbangan tunai kepada 50 orang asnaf sekitar Kota Kinabalu yang disumbangkan MUIS dan bakul makanan yang disumbangan TM.
Terdahulu, Arifin ketika ditemui berkata, zakat yang diterima telah disampaikan kepada fakir miskin dan asnaf yang layak menerima.
“Apa yang lebih menarik, kita telah memberikan sumbangan yang besar untuk pembangunan pendidikan di negeri ini.
“Lebih kurang RM40 juta tahun lalu kita sumbangkan untuk pembangunan pendidikan yang menjadi teras kepada kekuatan kita,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN