oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Seorang ibu tunggal yang membenarkan tiga kanak-kanak termasuk anak perempuannya sendiri menjual buah di jalanan selama hampir 12 jam sehari, dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun.
Tertuduh Awala Antualang, 47, juga didenda RM2,000, atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.
Awala yang merupakan pemegang Kad Burung-Burung mengaku bersalah atas tiga pertuduhan di hadapan tiga hakim Mahkamah Sesyen hari ini.
Bagi pertuduhan pertama, hakim Elsie Primus menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara terhadap Awala kerana membenarkan seorang budak lelaki berusia 11 tahun, yang berada di bawah jagaannya, menjual buah di kawasan Sembulan dari jam 11 pagi hingga 11 malam antara Januari hingga akhir Februari tahun ini.
Bagi pertuduhan kedua, hakim Hurman Hussain turut mengenakan hukuman tiga tahun penjara terhadap Awala atas kesalahan yang sama, kali ini melibatkan anak perempuannya yang berusia 13 tahun. Mangsa dibiarkan menjual buah di kawasan Aeropod dari jam 12.30 tengah hari hingga 11 malam, dalam tempoh yang sama.
Bagi pertuduhan ketiga, hakim Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara serta denda RM2,000 ke atas Awala kerana membenarkan seorang lagi budak lelaki berusia 12 tahun, yang turut berada di bawah jagaannya, menjual buah di kawasan Harbour City KK dari jam 11 pagi hingga 11 malam, dalam tempoh yang sama. Jika gagal membayar denda, Awala akan dikenakan dua bulan penjara tambahan.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 32(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman maksimum lima tahun penjara atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Ketiga-tiga hakim memerintahkan Awala menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap. Ini bermakna, tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara selama tiga tahun, bukannya sembilan tahun, dan membayar denda RM2,000.
Tertuduh juga diperintahkan untuk dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman.
Berdasarkan fakta kes, sejak awal tahun 2025 sehingga kesemua kanak-kanak diselamatkan pada 27 Februari 2025, mereka bekerja untuk tertuduh dengan menjual buah-buahan di beberapa lokasi sekitar Kota Kinabalu. Buah-buahan yang dijual dibekalkan oleh tertuduh. Setelah habis dijual, kesemua hasil jualan diserahkan sepenuhnya kepada tertuduh.
Pendapatan harian kanak-kanak tersebut adalah tidak menentu, dianggarkan antara RM180 hingga RM300 sehari. Mereka hanya diberikan sehari cuti dalam seminggu dan menerima upah daripada tertuduh, namun jumlahnya tidak tetap.
Semasa rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman diringankan dan dijalankan serentak, dengan alasan bahawa dia mempunyai sembilan anak dan dia perlu menjaga mereka.
Tertuduh turut memaklumkan mahkamah bahawa dia tidak mempunyai suami, dan anak bongsunya yang baru berusia setahun lebih kini dijaga oleh anak lelakinya. Anak sulungnya yang berusia 21 tahun pula sedang ditahan berhubung kes yang sama.
Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus memohon mahkamah mengenakan hukuman berat bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan amaran kepada masyarakat bahawa perbuatan yang dilakukan tertuduh adalah satu kesalahan.
“Masyarakat perlu mengetahui bahawa Akta Kanak-Kanak 2001 mengiktiraf hak setiap kanak-kanak untuk mendapat perlindungan dalam semua keadaan, tanpa mengira sebarang perbezaan seperti kaum, asal-usul sosial, atau status lain,” katanya.
Sementara itu, Awala turut berdepan dua lagi pertuduhan yang sama, tetapi mahkamah menolak pengakuan bersalah tertuduh selepas dia mendakwa tidak tahu bahawa tindakannya terhadap kanak-kanak itu adalah satu kesalahan.
Dua pertuduhan tersebut menyatakan bahawa Awala membiarkan dua anak lelakinya berusia 11 dan 12 tahun menjual buah di dua lokasi berbeza, dalam tempoh yang sama.
Mahkamah menetapkan 22 April sebagai tarikh sebutan semula bagi dua pertuduhan itu.