Oleh FLORIETA DIET
KOTA KINABALU: Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya merampas pelbagai barangan yang cuba diseludup dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM878,855.76 dan menahan enam individu dalam empat kes berasingan.
Penolong Ketua Pengarah Kastam, Saidin Jalaluddin berkata, rampasan itu melibatkan beberapa jenis barangan termasuk minuman keras, rokok, serta wayar dan barangan elektrik.
Katanya, dari jumlah tersebut termasuk cukai, RM809,028.53 adalah nilai rampasan minuman keras, RM32,116.48 bagi rokok, dan RM37,710.75 untuk wayar dan barangan elektrik.
“Dalam kes pertama, pada 4 Mac sekitar jam 2 petang, pasukan JKDM dari Cawangan Operasi, Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu, bersama pegawai dari Unit Marin dan Unit Luar Gudang, telah memeriksa tiga buah kontena di Pelabuhan Sepanggar.
“Hasil pemeriksaan mendapati sejumlah karton minuman keras jenis beer yang dimuatkan dalam kontena tersebut. Siasatan awal menunjukkan bahawa manifest kontena tersebut diisytiharkan sebagai makanan dalam tin dan barang lain,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Penguatkuasaan Sepanggar dekat sini pada Rabu.
Menurut Saidin, rampasan melibatkan 41,472 liter minuman keras yang dianggarkan bernilai RM157,178.88 dan cukai sebanyak RM642,981.90.
“Minuman keras itu merupakan barang larangan yang hanya boleh diimport dengan Permit Import.
“Modus operandi kes ini adalah membuat pengiktirafan yang tidak betul dan lengkap dalam Borang Kastam 1. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a), Akta Kastam 1967,” jelasnya.
Menurut beliau lagi, dalam kes kedua, sebanyak 751.16 liter minuman keras yang dianggarkan bernilai RM2,144.07, dengan cukai sebanyak RM6,723.68 dirampas dan enam individu telah ditahan dalam kes ini untuk siasatan lanjut.
“Minuman keras itu dirampas dalam operasi di beberapa premis perniagaan sekitar Kota Kinabalu pada hari yang sama, antara jam 2 petang hingga 8.30 malam, Rampasan minuman keras itu kerana tiada Permit Import,” katanya.
Sementara kes ketiga berhubung kes rampasan rokok di Tawau, Saidin berkata, pada 5 dan 7 Mac, sekitar jam 9.30 pagi, pasukan serbuan JKDM dari Cawangan Operasi, Bahagian Penguatkuasaan Tawau telah menjalankan operasi di sebuah stor ladang dan Pasar Tamu Brumas di Tawau.
“Rokok pelbagai jenis berjumlah 26,726 batang yang dianggarkan bernilai RM7,101.20 dan cukai sebanyak RM25,015.28, telah dirampas. Rokok berkenaan barang larangan yang hanya boleh diimport dengan Permit Import,” katanya.
Beliau berkata, bagi kes keempat pasukan JKDM Cawangan Operasi, Bahagian Penguatkuasaan Lahad Datu merampas wayar dan lampu LED di Terminal Bas Ekspres Lahad Datu.
“Pada 6 Mac sekitar jam 7.40 malam,
wayar dan lampu LED pelbagai jenama yang disyaki barang larangan, berjumlah 216 gulung, dengan nilai RM32,650 dan cukai sebanyak RM5,060.75. Barangan tersebut memerlukan Permit Import yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga.
“Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dinasihatkan untuk menghubungi Talian Bebas Tol Kastam di 1-800-88-8855 atau pejabat JKDM yang terdekat. JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” ujarnya.