HomeUtamaKOSAN perlu dirombak, buktikan kemampuan

KOSAN perlu dirombak, buktikan kemampuan

Read Time:2 Minute, 6 Second

Oleh ERDIE AB WAHID

Kota Kinabalu : Koperasi Serbaguna SANYA Berhad (KOSAN) disaran untuk membuat rombakan terhadap pengurusan koperasi bagi membuktikan kemampuan untuk menampung kontrak bersama Kerajaan sebelum ini.

Pengerusi KOSAN Datuk Ellron Angin berkata, koperasi yang membekalkan produk pakaian seragam dan kasut sekolah itu dibeli kerajaan negeri untuk disumbangkan secara percuma kepada murid semua sekolah di negeri ini.

Katanya, KOSAN masih mempunyai kontrak bersama Kerajaan negeri sehingga hujung tahun ini selepas ianya disambung pada tahun lalu.

“Kita simpati dengan keadaan pekerja seramai 230 orang (melibatkan kilang perusahaan pakaian Tuaran dan kilang kasut Papar milik KOSAN) yang hilang pekerjaan ekoran pemberhentian operasi dua kilang itu berpunca ketiadaan pembeli produk keluaran syarikat sejak hujung tahun lalu.

“Justeru, kita ada bincang dalam Jemaah Menteri tadi bahawa kita masih lagi memberi peluang kepada KOSAN dimana mereka perlu merombak, memperbaiki syarikat dibawah koperasi dan kalau mereka dapat membuktikan bahawa mereka boleh menampung kontrak macam sebelum ini,  mungkin kita akan pertimbangkan lagi.

“Jadi kita minta supaya rombakan ini akan dapat dibuat dengan lebih cepat dan mungkin kita akan memikirkan memberi peluang lagi.  Tapi setakat ini seperti yang dalam perjanjian,  difahamkan ia akan tamat pada tahun ini sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Ellron berkata demikian bagi mengulas isu pekerja kilang milik KOSAN seramai 230 orang yang hilang pekerjaan ekoran pemberhentian operasi dua kilang di Tuaran dan Papar.

Mereka adalah 134 pekerja kilang pakaian Tuaran dan 69 pekerja kilang kasut Papar serta kakitangan ibu pejabat KOSAN ditamatkan perkhidmatan menerusi surat dihantar kepada setiap pekerja pada 14 Oktober 2024.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Henry Idol.

Ellron yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, KOSAN yang mempunyai kontrak dibawah KPMKR sebelum ini membekalkan produk pakaian dan kasut sekolah kepada 287,777 murid seluruh Sabah.

Namun katanya, pelbagai reaksi dan rungutan yang diterima dari pihak ibu bapa termasuk kasut yang tidak selesa selain baju yang panas selain beberapa rungutan lain.

“Justeru kita kena buat keputusan yang terbaik untuk menampung uniform untuk murid-murid ini.

“Kita akan nilai selepas ini, sebab kontrak ini akan tamat pada hujung tahun ini, jadi kita tengok kalau mereka ini sudah bersedia sehingga tiada masalah,” katanya.

Dalam pada itu, Henry berkata, KOSAN boleh menyertai tender terbuka sekiranya kontrak yang ada pada masa ini tamat pada hujung tahun ini.

“Untuk kontrak yang sekarang ini kita ada dua tahun dengan KOSAN,   tetapi untuk setiap kontrak, Kerajaan tetap akan buat tender terbuka, jadi dalam tempoh itu, KOSAN boleh menyertai,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan terus perkukuh bantuan sara hidup, SARA diperluas mulai April 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular