HomeGaya hidupManfaatkan media sosial untuk majukan perniagaan

Manfaatkan media sosial untuk majukan perniagaan

Read Time:4 Minute, 42 Second

Oleh FLORIETA DIET

EKSKLUSIF

WANITA harus bijak memanfaatkan platform media sosial untuk mengembangkan perniagaan mereka. Dalam dunia yang semakin moden ini, berniaga tidak lagi terhad kepada kedai fizikal atau pasar malam sahaja. Sebaliknya, dengan adanya teknologi dan platform digital, peluang untuk mengembangkan perniagaan terbuka lebih luas.

Begitulah yang dilakukan oleh Norini Bonong, 43, seorang wanita dari Matunggong, Kudat, yang bijak memanfaatkan teknologi untuk memasarkan kraftangan bakul anyaman tali plastik berasaskan motif etnik tradisional Sabah.

Sehubungan dengan itu, penulis Sabah Media menjejaki Norini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kraftangan yang menarik dan cara beliau mempromosikan produknya.

Pada awalnya, Norini hanya mempromosikan produk-produknya di Facebook dan Instagram. Namun, beliau merasakan Facebook hanya terhad kepada rakan-rakan sahaja. Lalu, beliau mengambil langkah berani untuk mencuba platform media sosial lain seperti TikTok.

Melalui TikTok, pasaran perniagaannya menjadi lebih luas, dan jualan produk-produknya yang menggunakan label Rini Craft semakin mendapat sambutan. Dalam sebulan, Norini mampu menjual hampir 300 pelbagai produk kraftangannya.

“Sebagai seorang wanita, kita perlu belajar sesuatu yang baharu, jangan kita berada di takuk yang lama, kalau kita mahu berjaya kita perlu lakukan sesuatu ‘upgrade’ diri kita ikut peredaran masa,” katanya.

Antara koleksi beg tangan bermotifkan etnik Sabah.

Norini kini mempunyai pelanggan bukan sahaja di Sabah tetapi dari Semenanjung Malaysia.

“Apa yang saya rasa bangga, mereka menempah bakul yang mampunyai hiasan bermotifkan tradisi etnik di Sabah berbanding bakul yang mempunyai hiasan bunga. Mereka merasa motif berkenaan cantik dan unik,” katanya.

Antara beg bermotifkan bunga turut jadi pilihan pelanggannya.

Dari hobi kepada sumber pendapatan

Norini mula menganyam pada tahun 2018 sebagai hobi ketika anak-anaknya masih kecil. Pada ketika itu, dia tinggal di Miri kerana mengikuti suami yang bertugas di sana. Beliau belajar membuat bakul daripada jirannya yang juga seorang suri rumah. Keinginannya untuk memperbaiki kemahiran menganyam semakin berkembang selepas mendapat sambutan positif daripada komuniti sekeliling.

Pada tahun 2019, dengan kemunculan wabak COVID-19 (Corona Virus Disease 2019) di Sabah dan sekatan pergerakan yang berlaku, Norini mula mencuba untuk menjual hasil tangannya secara dalam talian (online).

Selepas rentas negeri dibenarkan, Norini bersama tiga orang anaknya pulang ke Sabah pada Ogos 2020. Walaupun keadaan COVID-19 di Sabah masih belum terkawal sepenuhnya, Noriri tetap fokus pada jualan online.

“Dalam tempoh ini, banyak perniagaan yang sebelum ini bergantung kepada perniagaan fizikal terpaksa beralih kepada jualan online untuk memastikan kelangsungan perniagaan. Manakala e-hailing juga menjadi salah satu bentuk perkhidmatan yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP dengan syarat pematuhan SOP yang ketat bagi penghantaran barang. Namun, tinggal di kawasan kampung memberi cabaran tersendiri. Tanpa talian internet yang stabil, Norini terpaksa mendaki bukit yang mengambil masa lima minit hanya untuk memuat naik gambar dan video produknya di media sosial.

“Saya terpaksa mendaki bukit dua atau tiga kali sehari untuk memastikan saya dapat memuatkan naik video baharu ke akaun media sosial saya dan juga melihat sekiranya ada tempahan dari pelanggan,” katanya.

Selepas sebulan mengharungi cabaran itu, Norini memutuskan untuk menyewa rumah di pekan Matunggong kerana talian internet yang lebih baik. Ini memudahkannya untuk berkomunikasi dengan pelanggan dan mempercepatkan urusan perniagaan.

Mengajar dan membantu wanita kampung

Dalam tempoh yang sukar itu, Norini tidak hanya fokus pada perniagaannya sahaja, tetapi juga mengambil inisiatif untuk membantu wanita-wanita di kampung yang terjejas pendapatan akibat pandemik. Beliau mengajar mereka menganyam dan berkongsi ilmu yang dimilikinya.

Rini (tiga kiri) sedang memberi tunjuk ajar kepada wanita yang berminat belajar menganyam untuk pembuatan beg.

“Berkongsi ilmu dengan wanita-wanita adalah cara saya membantu mereka menghasilkan pendapatan sambil memelihara seni warisan ini. Saya mengadakan kelas dengan yuran yang berpatutan. Setelah mereka mahir, saya membeli bakul-bakul yang mereka hasilkan dan memasarkan untuk mereka. Dengan cara ini, mereka akan mendapat pendapatan sendiri,” ujar Norini.

Beliau percaya wanita perlu mempunyai pendapatan sendiri, bukan hanya untuk membantu ekonomi keluarga, tetapi juga untuk meningkatkan keyakinan diri mereka.

Kerjasama dengan Chanteek Borneo untuk memperkenalkan motif tradisi

Selain fokus mengusahakan kedai kraftangannya di pekan Matunggung, Norini juga mendapat pelawaan dari Chanteek Borneo untuk mempamerkan produk-produk kraftangannya. Chanteek Borneo mengetengahkan produk-produk berasaskan motif tradisional Sabah, yang menjadi identiti budaya negeri ini.

Selain itu, Norini juga mendapat tawaran untuk mempamerkan hasil tangannya di Lapangan Antarabangsa Kota Kinabalu.

“Saya terharu kerana mereka menawarkan saya ruang untuk mempamerkan produk saya,” ujar Norini, sambil berharap untuk memperkenalkan beg plastik bermotifkan tradisional ini ke luar negara.

Motif yang terdapat pada bakul-bakul dan beg yang dihasilkan bukan sahaja menggambarkan keindahan budaya Sabah, tetapi juga ditambah dengan sentuhan inovatif agar sesuai digunakan dalam kehidupan seharian.

Terbaharu, Norini memperkenalkan produk-produk seperti sarung iPad, sarung telefon, dan beg tangan tote yang dihiasi dengan sulaman pis, satu teknik sulaman tradisional daripada pakaian etnik Rungus.

Cabaran dalam menjalankan perniagaan

Walaupun perniagaannya kini semakin berkembang, Norini masih menghadapi pelbagai cabaran. Salah satu cabaran terbesar ialah kekangan modal yang menyebabkan beliau terpaksa menolak beberapa tawaran untuk memasarkan produk di lokasi besar seperti Lapangan Terbang Langkawi dan Pulau Pinang.

“Saya terpaksa menolak tawaran mereka, kerana produk saya akan dijual secara consignment. Ini bermakna saya akan menghantar banyak produk dan hanya akan dibayar setelah barang tersebut terjual,” kata Norini.

Selain itu, masalah liputan internet yang lemah di kawasan luar bandar juga memberi kesukaran kepada beliau untuk memasarkan produk secara dalam talian, yang kini menjadi saluran utama jualan.

Norini juga menerima sokongan daripada agensi kerajaan seperti DIDR (Jabatan Perindustrian dan Penyelidikan Sabah) yang menyediakan mesin jahit dan DDEC (Malaysia Design Development Centre) yang memberi bantuan dalam pembungkusan produk.

“Bantuan ini sangat membantu dalam mempercepatkan proses pengeluaran produk berkualiti dan pengembangan bisnes kami,” katanya.

Walaupun menghadapi pelbagai cabaran kewangan dan logistik, Norini tetap optimis dalam mengembangkan perniagaannya. Dengan sokongan daripada keluarga dan komuniti, serta semangat tidak kenal putus asa, beliau terus berusaha untuk memajukan produk kraftangannya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Yayasan Petronas salur sumbangan kepada 300 golongan memerlukan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular