Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Tindakan seorang lelaki mabuk yang mengugut isterinya dan mengancam untuk memukul anak mereka dengan besi membawa padah apabila dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Jimmy Edward, 33, mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah dan mendatangkan ketakutan terhadap isterinya yang berusia 29 tahun pada 14 Februari sekitar jam 6.20 petang di rumah tidak bernombor di Kampung Bambangan, Inanam.
Jimmy membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Marilyn Kelvin.
Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku apabila tertuduh, yang berada dalam keadaan mabuk, tiba di rumah kakaknya di Kampung Bambangan, Inanam.
Tertuduh mahu membawa isteri dan anak mereka yang berusia tujuh tahun pulang ke Kota Belud dengan berjalan kaki.
Namun, isteri dan iparnya berusaha menghalang tindakan tertuduh.
Tertuduh menjadi berang lalu mengugut anaknya dengan berkata, “Saya akan pukul kau dengan besi kalau kau tidak mahu ikut saya.” Tertuduh turut mengugut isterinya dengan kata-kata, “Saya akan pukul kau dan buang kau di longkang kalau kau tidak mahu ikut cakap saya.”
Laporan polis dibuat, yang akhirnya membawa kepada penahanan tertuduh.
Siasatan lanjut mendapati bahawa pasangan tersebut bersama anak mereka datang ke Kota Kinabalu bagi menghadiri temu janji di hospital untuk pemeriksaan lanjut berhubung kecederaan patah tangan yang dialami oleh isteri tertuduh sebelum ini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Yusdi Basri.