HomeUtamaRebat RAHMAH Sempena Hari Polis ke-218, anggota PDRM luah rasa syukur

Rebat RAHMAH Sempena Hari Polis ke-218, anggota PDRM luah rasa syukur

Read Time:1 Minute, 46 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyambut baik pemberian Insentif Rebat RAHMAH yang diumumkan kerajaan sempena Hari Polis ke-218, sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan mereka menjaga keselamatan negara.

Inisiatif khas yang diumumkan oleh Kerajaan MADANI ini menawarkan rebat bil kepada anggota yang melanggan pelan pascabayar (postpaid) dan tambahan nilai kepada pengguna prabayar (prepaid).

Dorarin

Bagi Asisten Superintendan (ASP) Dorarin Guanoi dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wilayah Persekutuan Labuan, insentif ini merupakan sesuatu yang amat bermakna buat pasukan keselamatan.

“Saya menyokong dan gembira kerana sebelum ini belum pernah menerima insentif sebegini. Ia adalah satu penghargaan besar kepada PDRM,” katanya ketika dihubungi Sabah Media hari ini sambil memaklumkan seramai 32 orang yang terpilih di kalangan warga polis Labuan menerima bakul makanan salah satu pengisian acara sempena sambutan Hari Polis di Labuan kelmarin.

Sementara itu, ASP Rechi John Chuhing, turut meluahkan rasa terharu atas perhatian yang diberikan kepada anggota PDRM.

Rechi

“Saya berterima kasih kepada pengendali telekomunikasi kerana memberi kemudahan percuma ini. Tidak pernah diberikan sebelum ini oleh mana-mana kerajaan,” ujarnya.

Bagi Sarjan Arita Mabni, inisiatif ini bukan sahaja tanda penghormatan, malah dapat membantu dalam mengurangkan beban kewangan anggota.

Arita

“Saya menyokong dan gembira dengan usaha kerajaan ini. Ia sedikit sebanyak dapat memberikan penjimatan kepada kami,” katanya.

Turut senada, Sharil Mastar dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah berharap insentif seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan.

“Saya amat gembira dan menyokong insentif ini dan insentif-insentif lain yang dilaksanakan. Jika diteruskan, ia dapat mengurangkan beban tanggungan anggota PDRM,” katanya.

Dalam pengumuman yang dibuat di Putrajaya semalam, Kementerian Komunikasi memaklumkan bahawa insentif ini melibatkan kerjasama penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama seperti CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech, YTL Communications, Tune Talk, redONE, dan XOX Com.

Lebih 127,000 anggota PDRM bakal menerima manfaat ini, dengan rebat bil diberikan dalam bulan April, Mei, atau Jun, bergantung kepada kitaran bil pengguna.

Tahun lalu, insentif yang sama turut diperkenalkan untuk pengamal media tempatan sempena Bulan Kebangsaan.

Bagi anggota yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, mereka boleh merujuk kepada laman web rasmi Kementerian Komunikasi di pautan berikut: https://www.komunikasi.gov.my/en/awam/faq.

RELATED ARTICLES
Utama

Mangsa sindiket penipuan pekerjaan kembali ke pangkuan keluarga

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular