Putatan : Seramai 50 orang golongan asnaf terdiri dari kalangan ahli-ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kota Kinabalu di sini menerima bantuan zakat yang disalurkan menerusi beberapa agensi dan badan bukan kerajaan.
Ia termasuklah Koperasi Pembangunan Usahasama Masyarakat Maju Sabah Berhad (KOPUSAMAJU); Permodalan Capital Berhad dan PNK Kota Kinabalu selain Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) kawasan Petagas.
Bantuan zakat yang disampaikan pada majlis penyampaian insentif hari raya dan sumbangan zakat itu disempurnakan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Petagas Mohd Isquzawan Israq Arsit.
Isquzawan ketika ditemui berkata, program itu merupakan satu acara yang menghimpunkan kesemua agensi terlibat bagi berkongsi hasil keuntungan menerusi perniagaan yang dijalankan.
“Kita melihat bahawa hasil daripada keuntungan ketiga agensi ini yang memberangsangkan pada tahun lalu dan ianya diterjemahkan kepada perkhidmatan politik dalam kawasan kita yang begitu baik dan tekun menjiwai khususunya masyarakat sekitar kawasan Petagas ini.
“Keuntungan perniagaan ini adalah hasil perniagaan pada tahun lalu dan kita agihkan zakat dan juga insentifnya pada tahun ini,” katanya.
Dalam pada itu, Isquzawan berkata, perniagaan yang dijalankan juga perlu mengikut Kerajaan yang stabil .
“Jika sesebuah Kerajaan tidak stabil maka ianya mampu menggugar syarikat-syarikat lain. Sebagai ahli politik, kita ini lebih dekat kepada orang-orang yang baik, lebih dekat untuk memberikan sumbangan dan perkhidmatan kepada masyarakat di kawasan sekitar.
“Justeru saya menyeru kepada semua ahli parti untuk kita terus kehadapan membantu parti kita, membantu presiden kita untuk mengangkat Gagasan Rakyat mahupun Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ini supaya apabila berlaku pilihan raya kelak kita mampu memberikan kemenangan di dalam Dun Petagas ini,” katanya.
Terdahulu, turut disampaikan penyampaian saguhati raya, bayaran insentif PCB dan KOPUSAMAJU selain bacaan yasin serta tahlil. – SABAH MEDIA