KOTA KINABALU: Persatuan Jurutera Perunding Malaysia (ACEM) Cawangan Sabah digesa memastikan semua jurutera perunding di negeri ini memiliki kelayakan profesional serta kemahiran yang diiktiraf bagi menjamin mutu perkhidmatan kejuruteraan yang berkualiti tinggi.
Penasihat Teknikal (Tenaga) kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr. James Lim, berkata komitmen ACEM dalam memperkukuh hubungan dan kerjasama dengan agensi kerajaan, industri serta organisasi amat dialu-alukan bagi memastikan penyelesaian kejuruteraan yang cekap dan menepati piawaian.
Beliau menyatakan demikian selepas menerima kunjungan hormat delegasi ACEM Cawangan Sabah yang diketuai Pengerusinya, Datuk Ir. Chin Shu Ying, di Pejabat Ketua Menteri, Menara Kinabalu, hari ini.
Menurutnya, pertemuan itu menjadi platform penting untuk bertukar pandangan serta memperkukuh kolaborasi dalam bidang kejuruteraan dan tenaga, terutama dalam konteks pembangunan mampan negeri.
“Antara isu kritikal yang dibincangkan termasuk peranan jurutera perunding dalam transformasi tenaga bersih, pematuhan piawaian kejuruteraan dalam projek pembangunan negeri, serta integrasi teknologi hijau dalam infrastruktur.
“Kami juga bersetuju untuk mempergiatkan kerjasama antara ACEM dan agensi kerajaan negeri, terutama dalam perkongsian kepakaran teknikal serta penyelesaian kejuruteraan yang menyokong agenda pembangunan mampan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, kesedaran terhadap amalan terbaik kejuruteraan lestari turut akan dipertingkatkan bagi memastikan Sabah mencapai matlamat pembangunan rendah karbon serta ketahanan tenaga.
Beliau berharap kerjasama erat antara ACEM dan kerajaan negeri dapat diteruskan bagi merealisasikan visi pembangunan mampan Sabah.