KOTA MARUDU: Dua lelaki terselamat selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberangi jalan konkrit di sungai Kampung Sungai Simpangan, di sini, pada malam Rabu (26 Mac).
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 9.07 malam melalui talian MERS999.
Susulan itu, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, diketuai PBK II Jakri Bahar, digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 9 kilometer dari balai.
“Sebaik tiba pada jam 9.17 malam, pasukan bomba mendapati sebuah kenderaan Toyota Vigo dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberangi sungai,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, seorang mangsa berjaya naik ke bumbung kenderaan dan diselamatkan, manakala seorang lagi mangsa dilaporkan hilang selepas keluar dari kenderaan untuk menyelamatkan diri.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dijalankan sebelum mangsa kedua ditemui selamat di tepi sungai. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.24 malam,” katanya.