Sook : Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dilantik diingatkan agar mengutamakan budaya etika yang baik dan integriti tinggi ketika menjalankan tugasan.
Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata, ini kerana JKKK berperanan sebagai salah satu agen perancang dan penghubung antara masyarakat dan Kerajaan.
Katanya, penerapan kedua-dua nilai itu penting dalam badan JKKK agar perancangan dan pembangunan yang disalurkan oleh kerajaan lebih berkesan dan efisien sehingga sampai ke akar umbi.
“Anda adalah mata dan telinga kerajaan, jadi manfaatlah kepercayaan yang diberikan ini untuk menabur jasa dan bakti kepada masyarakat dengan penuh komitmen dan tanggungjawab terutamanya di kampung jagaan masing-masing.
“Kerajaan pastinya menaruh harapan besar terhadap peranan anda semua (Pengerusi JKKK) dalam memastikan setiap permasalahan dan keperluan akar umbi dapat disampaikan kepada mereka yang berkaitan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook berkata demikian pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi JKKK Mukim Sook dan Mukim Tiulon di Dewan Masyarakat Sook di sini.
Hadir sama dalam majlis ini, Penolong Pegawai Daerah Sook Puan Caroline Benjamin Jiugan, dan Pegawai Pembangunan Masyarakat Tony Talasoi.
Seramai 35 orang pengerusi yang telah dilantik merangkumi 18 orang Mukim Sook dan 17 orang Mukim Dalit.
Sebilangan besar pengerusi JKKK ini dilantik semula dan sebahagian kecil lagi pelantikan baru bagi sesi 2025/2026.
Di majlis yang berasingan pada hari yang sama, Ellron turut menyerahkan watikah pelantikan pengerusi JKKK DUN N.45 Sook 37 Pengerusi JKKK untuk Mukim Dalit dan Mukim Ansip di Dewan Belia, Kampung Biah Tengah.