Kudat: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot pancing didapati melakukan kesalahan membawa barang kawalan tanpa permit sah dan melanggar syarat sah lesen di perairan Kudat, di sini semalam.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, bot terbabit dikesan lebih kurang jam 3 pagi ketika rondaan Op Pluto Timur / Op Tiris di perairan sekitar 5.1 batu nautika barat laut Tanjung Berungus, Kudat.

Katanya, melihat kepada keadaan pergerakan bot terbabit yang meragukan sedang menuju ke laut, bot ronda Maritim Malaysia segera memintas dan menahan bot terbabit untuk diperiksa.
“Hasil pemeriksaan mendapati, bot terbabit membawa barang kawalan tanpa sebarang permit sah iaitu sejumlah lima tong gas serta pelbagai jenis barangan runcit.
“Tiga individu yang mengendalikan bot turut diperiksa dan didapati kesemuanya mempunyai pengenalan diri yang sah.

“Bot dan barang rampasan seterusnya dibawa ke Jeti Marina Kudat untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan membawa barang kawalan tanpa permit sah dan Enakmen Pelabuhan dan Germaga Sabah 2002 kerana melanggar syarat sah lesen,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Hasbullah berkata, pihaknya menyeru kepada masyarakat khususnya komuniti maritim di Kudat untuk sama-sama membantu Maritim Malaysia dengan melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut kepada Maritim Malaysia di talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA