Oleh FLORIETA DIET
KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah telah mengeluarkan sebanyak 946 saman, 467 kenderaan dikenakan tindakan dan dua motosikal disita daripada 5,481 kenderaan diperiksa dalam tempoh tiga hari operasi Ops Hari Raya bermula 24 Mac lepas.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Sabah, Mohd Harris Ali berkata, antara kesalahan yang paling banyak dikesan adalah lesen kenderaan yang tamat tempoh sebanyak 238 saman, 211 saman dikeluarkan kepada pemandu yang tidak memiliki lesen memandu kompeten (CDL), sementara 105 saman kerana kenderaan tidak dilindungi insurans.
Tambahnya lagi, kesalahan lain termasuk tidak memakai tali pinggang keselamatan sebanyak 45 saman dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu sebanyak 15 saman.
“Operasi ini akan diteruskan sehingga 8 April dengan melibatkan seramai 286 pegawai JPJ bertugas di seluruh Sabah untuk memastikan keselamatan jalan raya sepanjang tempoh perayaan,” katanya ketika melakukan pemeriksaan di Terminal Bas Inanam dekat sini pagi tadi (27 Mac).
Tambahnya lagi, sebagai sebahagian daripada Ops Hari Raya, JPJ juga akan melaksanakan sekatan pemanduan kenderaan perkhidmatan barangan yang akan dikuatkuasakan dua hari sebelum dan dua hari selepas perayaan Hari Raya. Sekatan ini dijadualkan pada 29 dan 30 Mac, serta 5 dan 6 April.
“Tiga kategori larangan kenderaan perkhidmatan barangan telah ditetapkan bagi memastikan keselamatan jalan raya dan kelancaran trafik.
“Kategori pertama adalah sekatan sepanjang masa (24 jam), manakala kategori kedua adalah sekatan dari jam 8 malam hingga 8 pagi. Kategori ketiga pula melibatkan sekatan dari jam 6 petang hingga 6 pagi, dengan radius sekatan 25 km dari tempat pembinaan,” katanya.
Beliau berkata, JPJ berharap agar persatuan pengusaha lori dan kenderaan perkhidmatan barangan akan bekerjasama untuk memeriksa jenis kenderaan yang terlibat dalam tiga kategori sekatan ini.
“Pihak JPJ juga memberi peringatan bahawa sekiranya berlaku pelanggaran terhadap larangan yang telah ditetapkan, tindakan saman akan dikenakan dan kenderaan yang melanggar akan ditahan sepanjang tempoh sekatan.
“Kenderaan yang ditahan hanya akan dilepaskan selepas 30 Mac dengan saman yang akan dikeluarkan. Langkah ini diambil untuk meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya dan memastikan perjalanan perayaan berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang boleh membahayakan,” katanya.
Beliau juga menjelaskan bahawa JPJ Sabah sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara, seterusnya bagi mencapai sasaran pengurangan statistik kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya.
Selain itu, katanya, JPJ juga telah menjalankan pemeriksaan di tiga terminal utama di Sabah, dengan 93 buah bas telah diperiksa sehingga kini.
“Semua bas yang diperiksa berada dalam keadaan baik dan mematuhi semua peraturan-peraturan dan aspek keselamatan yang telah ditetapkan dalam Akta Pengangkutan Jalan (APJ) dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP),” ujar Mohd Harris lagi.