HomeUtamaPengamal media berperanan jadi 'mata dan telinga' PBT

Pengamal media berperanan jadi ‘mata dan telinga’ PBT

Read Time:1 Minute, 33 Second

Kota Kinabalu : Pengamal media khususnya di negeri ini berperanan sebagai mata dan telinga masyarakat dengan menyalurkan maklum balas secara terus kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, pandangan, cadangan dan kritikan yang disampaikan menjadi rujukan penting kepada PBT terutama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi menambah baik perkhidmatan yang diberikan.

Katanya, pengamal media turut berperanan menjadi pemacu utama kepada perubahan dan pembangunan Kota Kinabalu sejak 25 tahun lalu. 

Menurutnya dalam tempoh dua dekad, media telah berperanan sebagai rakan strategik DBKK dalam memastikan penyampaian maklumat yang tepat, pantas dan telus kepada masyarakat.

“Kerjasama erat ini membolehkan PBT bertindak secara lebih proaktif dan efektif dalam menangani isu-isu yang melibatkan warga Bandaraya KK.  Oleh itu, pandangan, cadangan dan kritikan yang disampaikan oleh media menjadi rujukan penting bagi DBKK dalam menambah baik perkhidmatan yang diberikan.

“Usaha yang tidak pernah kenal lelah ini membantu DBKK menjadi lebih peka terhadap kehendak warga bandaraya serta lebih berkesan dalam merangka dasar dan melaksanakan program yang bermanfaat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Media 2025, di sini semalam.

Hadir sama, Presiden Wartawan Sabah, Datuk Muguntan Vanar, Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor dan Pengerusi Persatuan Wartawan Kota Kinabalu, Jimmy Goh.

Sabin berkata, landskap penyampaian maklumat kini semakin dinamik dengan kepelbagaian platform media, akhbar dan majalah kepada radio, televisyen serta media sosial yang berkembang pesat sebagai saluran berita utama.

“Media cetak seperti akhbar dan majalah terus berperanan sebagai wadah dokumentasi perkembangan masyarakat, manakala media elektronik seperti radio dan televisyen membolehkan penyampaian maklumat secara langsung dan pantas.

“Selain itu, media sosial pula kini menjadi medium yang semakin relevan dalam menyebarkan berita terkini, maklumat kecemasan, serta pelbagai aktiviti yang melibatkan masyarakat setempat.

“Membawakan pelbagai perspektif, media membantu memperluaskan pemahaman masyarakat terhadap sesuatu isu, sekali gus menggalakkan dialog yang membina antara pihak berkuasa tempatan, pihak berkepentingan dan masyarakat umum,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Umat Islam di Malaysia sambut Aidilfitri esok

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular