Kota Kinabalu : Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah pada tahun ini hanya diadakan pada Jun depan.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, dalam tempoh itu hanya tujuh acara dilaksanakan berbanding 12 acara pada tahun lalu.
“Perayaan ini tidak akan berlangsung selama tiga bulan, sebaliknya hanya tujuh acara yang dirancang akan diadakan dalam tempoh satu bulan sahaja pada Jun depan.
“Ini adalah berdasarkan keputusan Kabinet Negeri Sabah bahawa program rasmi bagi sambutan ulang tahun tahun ini akan diadakan pada 21 Jun 2025,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kekeliruan orang ramai berhubung Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Tuan Yang di-Pertua Negeri Sabah 2025 yang dikatakan disambut selama tiga bulan.
Joachim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah berkata, peruntukan perbelanjaan juga telah dikurangkan sebanyak 30 peratus berbanding perbelanjaan pada tahun lalu.
Katanya, kesemua tujuh acara yang dianjurkan adalah acara-acara yang lazim dilaksanakan sempena hari ulang tahun kelahiran rasmi Tuan Yang Terutama sama seperti pada tahun-tahun sebelum ini.
“Saya berharap agar pencerahan ini jelas dan acara-acara ini tidak disalahertikan,” katanya. – SABAH MEDIA