Tuaran : Seramai 300 penerima terdiri dari golongan memerlukan sekitar daerah ini menerima sumbangan berupa bakul makanan dari Yayasan Petronas sempena sambutan Aidilfitri.
Sumbangan yang disalurkan menerusi inisiatif Memacu Kehidupan itu disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit Datuk Jasnih Daya sempena Majlis Berbuka Puasa Madani peringkat negeri Sabah di Padang Istiadat di sini baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Shariah Nelly Francis berkata, pihaknya komited untuk mendekati dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat, terutamanya pada musim perayaan.
“Kita menyambut Aidilfitri dengan rasa penuh gembira dan semangat kebersamaan. Menerusi inisiatif Memacu Kehidupan ini, kami ingin memeriahkan lagi suasana hari raya,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Antara barangan yang telah diagihkan ialah minyak masak, makanan tin, tepung, dan gula.
Yayasan Petronas bertekad untuk terus menyemarakkan semangat harmoni di seluruh negara, khususnya pada musim perayaan. – SABAH MEDIA / FOTO PETRONAS