Oleh NORMIMIE DIUN
PAPAR: Tiga individu diminta tampil bagi membantu siasatan berhubung dakwaan skandal rasuah mineral yang tular di media sosial mengaitkan nama Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali.
Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam pada itu menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut dan menganggapnya sebagai fitnah yang tidak berasas.
“Cuma apa yang saya ingin sebutkan di sini ialah dakwaan atau tuduhan yang dilemparkan kepada saya berkaitan skandal rasuah mineral ini adalah berasaskan kepada mesej layang yang tiada nama dan sumber. Karakter yang diwujudkan dalam tuduhan ini juga meragukan iaitu “Wartawan Siasatan (X7) dan Datuk Z” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ihya Ramadhan 2025 Peringkat Parlimen Papar di Dewan Datuk Salleh Sulong di sini, pada Jumaat.
Armizan menegaskan bahawa sebarang tuduhan mestilah berdasarkan bukti yang sahih, bukan sekadar persepsi atau mesej yang disebarkan melalui akaun palsu di media sosial. Oleh itu, beliau mencabar individu yang membuat tuduhan untuk tampil secara terbuka.
“Saya menafikan segala tuduhan tersebut. Ia merupakan fitnah. Jika benar ada kesalahan yang saya lakukan, bertanggungjawablah dengan dakwaan itu dan kemukakan bukti. Saya tidak boleh saman hantu raya. Perlu ada identiti untuk saya mengambil tindakan saman fitnah,” tegasnya.
Beliau turut mempersoalkan peranan beberapa individu yang didakwanya menyebarkan mesej tersebut, termasuk ahli politik tempatan.
“Saya harap ketiga-tiga individu ini Ketua Umno Bahagian Putatan Jeffrey Nor Mohamed, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura Calvin Chong (Warisan), dan mantan MP Papar Ahmad Hassan (Warisan) yang nampaknya terlibat dalam menyebarkan mesej ini, dapat membantu saya mengenal pasti siapa sebenarnya Datuk Z dan Wartawan Siasatan tersebut. Jika mereka benar-benar mempunyai bukti, jangan hanya berlapik-lapik (berkias), sebut secara jelas bahawa saya terlibat dalam skandal rasuah mineral. Jika tidak, ia hanya satu fitnah,” tegasnya.
Beliau juga menyatakan bahawa laporan polis telah dibuat terhadap Ahmad Hassan kerana menyebarkan mesej yang tidak dapat disahkan kesahihannya.
“Saya telah mengarahkan peguam saya untuk menulis surat kepada ketiga-tiga individu ini bagi mendapatkan kerjasama mereka dalam mengenal pasti dalang di sebalik dakwaan ini. Jika mereka menyokong tuduhan ini, maka saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka,” katanya.
Armizan turut menjelaskan lawatannya ke Indonesia pada 16 Mei 2023 yang menjadi salah satu isu dalam tuduhan tersebut.
“Pada tarikh tersebut, saya masih lagi merupakan ahli lembaga pengarah Sabah Mineral Management. Saya hadir ke Indonesia atas jemputan rasmi PT Bayan bersama pengurusan dan pasukan teknikal. Kami mendengar cadangan pelaburan syarikat tersebut dan ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab saya ketika itu. Tidak ada yang disembunyikan,” jelasnya.
Beliau juga menegaskan bahawa Sabah memerlukan pelabur yang tulen dan memiliki rekod prestasi yang baik seperti PT Bayan, yang merupakan antara pembayar cukai terbesar di Indonesia.
“Saya harap rakyat Sabah menolak politik fitnah dan memberi tumpuan kepada pembangunan negeri ini. Jika ada pihak yang ingin berdebat, gunalah idea bernas, bukan sekadar mencipta persepsi palsu’,’ tegas Armizan lagi.