Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Dua lelaki yang sebelum ini didakwa atas kesalahan mengedar dadah dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan memiliki dadah.
Jerry Pamo, 41, dan Afzanizam Noor Khalil Ahmad, 46, mengaku memiliki seberat 301.78 gram ganja pada 7 Mei 2021, jam lebih kurang 10.20 pagi, bertempat di tempat letak kereta Bataras Superstore Keningau.
Pertuduhan pilihan itu dibuat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Jika disabit kesalahan, hendaklah dihukum dengan penjara seumur hidup atau untuk suatu tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan akan dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada 10 sebatan.
Hakim Mahkamah Tinggi Alexander Siew How Wai turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkapan pada 7 Mei 2021.
Kedua-dua tertuduh pada awalnya didakwa atas pertuduhan mengedar dadah mengikut Seksyen 39B ADB, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang daripada 15 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati, sekiranya disabitkan kesalahan.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan selepas menerima surat representasi daripada peguam tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Afiq Aqoes, manakala Jerry dan Afzanizam masing-masing diwakili oleh peguam Shahlan Jufri bersama Luqman Syazwan Zabidi Mohd dan Hairul V. Othman.
Sementara itu, dalam kes berasingan di Mahkamah Sesyen, seorang warga asing dijatuhi hukuman penjara tiga tahun serta tiga sebatan kerana memiliki 31 gram dadah jenis methamphetamine.
Saldi Nasar, 43, mengaku memiliki dadah itu pada 8 Januari jam lebih kurang 2.15 petang, bertempat di kawasan berbukit, bersebelahan Taman Intan, Bundusan.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta yang sama.
Saldi pada awalnya didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di Mahkamah Tinggi sebelum kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen selepas pertuduhan diturunkan kepada hukuman yang lebih rendah.
Pendakwaan dikendalikan oleh TPR Bryan Francis, manakala tertuduh tidak diwakili oleh peguam.
Hakim Amir Shah Amir Hassan juga memerintahkan tertuduh untuk dirujuk ke Jabatan Imigresen setelah selesai menjalani hukuman.