HomePendapatHarapan dan Cabaran Dasar Wanita Negara 2025

Harapan dan Cabaran Dasar Wanita Negara 2025

Read Time:2 Minute, 12 Second

Oleh: Wan Azrain Adnan

PUTRAJAYA — Malaysia sekali lagi menyambut Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac 2025, dalam suasana penuh penghargaan terhadap peranan dan sumbangan wanita dalam pelbagai aspek kehidupan. Namun, sambutan kali ini tidak sekadar upacara simbolik, tetapi membawa sebuah wawasan besar melalui pelancaran Dasar Wanita Negara 2025 – 2030 (DWN 2025 – 2030).

Dasar yang penuh dengan harapan ini dilihat sebagai satu langkah progresif dalam memperkukuhkan kedudukan wanita di Malaysia. Namun, sejauh manakah dasar ini mampu mengubah realiti kehidupan wanita, atau sekadar menjadi satu lagi dokumen rasmi tanpa impak yang nyata?

DWN 2025 – 2030 merangkumi 26 strategi, 75 program dan 182 inisiatif dengan empat bidang keutamaan: ekonomi, kepimpinan, keselamatan dan kesejahteraan. Ia juga menyasarkan 60% kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh, peningkatan 1 juta usahawan wanita, serta 30% penyertaan wanita dalam pembuat keputusan politik dan korporat. Matlamat ini bukan sahaja besar, malah menuntut komitmen jitu daripada semua pihak.

Namun, mengimbau kembali sejarah, ini bukan kali pertama kerajaan melancarkan dasar khusus untuk wanita. Dasar Wanita Negara pertama kali digubal pada 1989, dan disemak semula pada 2009 dengan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita. Malangnya, walaupun banyak inisiatif dilancarkan, keberkesanannya masih boleh dipersoalkan. Data terbaru menunjukkan walaupun kadar penyertaan tenaga buruh wanita meningkat kepada 56.2% pada 2023 berbanding 45.7% pada 1982, jurang gender dalam kepimpinan dan upah masih ketara.

Profesion ProfesionalWanitaLelaki
Akauntan20,44317,291
Doktor Gigi8,8133,761
Doktor Perubatan32,40026,079
Doktor Veterinar1,253772
Peguam11,1949,190

Contohnya, walaupun lebih ramai wanita kini menceburi bidang profesional seperti perubatan, guaman dan perakaunan, gaji bulanan mereka masih lebih rendah berbanding lelaki. Walaupun purata gaji dan upah bulanan meningkat 12% dalam tempoh tiga tahun terakhir, masih terdapat ketidakseimbangan antara jantina, terutama dalam jawatan pengurusan tertinggi.

Peningkatan penglibatan wanita dalam sektor pertahanan dan keselamatan juga masih rendah, dengan hanya 10% sasaran penyertaan. Adakah realiti di lapangan benar-benar menyokong dasar ini, atau sekadar angka dalam laporan tahunan?

Enrolmen202120222023
Jumlah1,207,5931,202,2021,247,908
Wanita679,622: 56%681,642: 57%705,845: 57%
Lelaki527,971: 44%520,560: 43%542,063: 43%

Menggalakkan penglibatan wanita dalam ekonomi dan kepimpinan bukan sekadar angka, tetapi memerlukan perubahan struktur dan budaya. Pendidikan dan latihan kemahiran mesti disesuaikan dengan cabaran masa kini. Pada masa yang sama, akses kepada peluang ekonomi harus diperkukuhkan melalui dasar sokongan yang lebih menyeluruh, bukan sekadar inisiatif jangka pendek.

Wanita Malaysia tidak memerlukan retorik indah atau janji manis semata-mata. Apa yang diperlukan ialah pelaksanaan dasar yang konsisten dan kesediaan untuk menilai semula dasar sedia ada. Dengan komitmen kukuh, Malaysia mampu melahirkan lebih ramai pemimpin wanita yang berjaya dan mengukuhkan negara dengan keseimbangan gender yang lebih adil.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian rasmi mana-mana pihak atau organisasi.

RELATED ARTICLES
Utama

Lebih 600 tetamu meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Tun Musa di Beaufort

Jabatan Meteorologi Malaysia Hujan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular