Oleh NORMIMIE DIUN
PAPAR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas pengiktirafan terhadap usaha kementeriannya dan juga Kementerian Pertanian serta agensi-agensi berkaitan dalam menangani isu harga dan bekalan barang keperluan.
Menurut beliau, meskipun masih terdapat cabaran, situasi pada tahun ini lebih terkawal berbanding sebelum ini. Kejayaan ini hasil daripada komitmen jentera penguatkuasaan KPDN dan pelaksanaan operasi seperti Ops Pantau dalam memastikan pematuhan perundangan berkaitan harga barangan. Bilik gerakan operasi penguatkuasaan KPDN juga akan beroperasi seperti biasa pada 1 Syawal bagi menerima sebarang aduan masyarakat.
“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang lalu, kerajaan telah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Harga dan Bekalan Barangan, dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPDN. Jawatankuasa ini akan memastikan pemantauan harga dan bekalan dilakukan secara berkala, bukan sekadar reaksi kepada isu semasa, malah bagi merancang lebih awal menjelang musim perayaan.
“Selain itu, kerajaan turut meluluskan peruntukan tambahan bagi menampung kos pengangkutan gula putih bertapis dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak, dan Labuan. Sejak penghujung 2022, kos pengangkutan perkapalan meningkat akibat faktor geopolitik global. Peruntukan asal sebanyak RM19 juta kini dinaikkan kepada RM38 juta dengan kadar subsidi meningkat daripada 10 sen kepada 20 sen setiap peket.
“Dalam usaha memastikan bekalan gula tidak terputus, kerajaan turut meluluskan cadangan untuk mewujudkan stok penimbal sebanyak 1,000 metrik tan di Sabah, Sarawak, dan Labuan dengan peruntukan RM1 juta secara one-off. Kos penyelenggaraan seterusnya akan ditanggung oleh syarikat pengilang. Jumlah keseluruhan peruntukan bagi subsidi pengangkutan dan stok penimbal mencecah RM40 juta, tidak termasuk insentif RM1 bagi setiap peket 1kg gula, yang membolehkan harga pasaran kekal RM2.85 berbanding harga global sekitar RM3.70,” jelas Armizan pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ihya Ramadhan 2025 Peringkat Parlimen Papar di Dewan Datuk Salleh Sulong di sini, pada Jumaat.
Majlis Ihya dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Armizan menjelaskan bahawa stok penimbal ini berfungsi sebagai langkah jaminan sekiranya berlaku gangguan bekalan, membolehkan stok dikeluarkan serta-merta tanpa perlu menunggu penghantaran dari Semenanjung Malaysia.
”Dengan kelulusan ini, mulai tahun ini, perbincangan akan diadakan bersama dua syarikat pengilang utama, iaitu MSM dan CSR, bagi memastikan stok penimbal 1,000 metrik tan dapat diwujudkan di Sabah, Sarawak, dan Labuan,” katanya.
Ditanya mengenai cadangan mewujudkan kilang gula di negeri ini, Armizan berkata kerajaan juga sedang mempertimbangkan langkah jangka panjang untuk membangunkan kilang penapisan gula di Sabah dan Sarawak bagi mengurangkan kebergantungan terhadap Semenanjung Malaysia.
“Bagi penyelesaian jangka panjang, KPDN dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) turut membincangkan cadangan mewujudkan kilang penapisan gula di Sabah dan Sarawak dengan penglibatan kerajaan negeri.
“Ini bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada pengilang di Semenanjung serta membolehkan gula mentah diimport terus ke sana tanpa perlu dibawa ke Semenanjung terlebih dahulu untuk diproses.
“Pada masa ini, Malaysia mengimport 100% gula mentah, dengan sumber utama dari Brazil dan Thailand,” katanya.
Sementara itu, selain Majlis Ihya turut dilaksanakan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di perkarangan dewan tersebut di sini, hari ini.