Kota Kinabalu : Kerajaan Sabah meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi Sambutan Pesta Kaamatan pada tahun ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Jeffrey Kitingan berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat di Wisma Pertanian di sini.

Perkara itu diumumkan menerusi kemaskini yang dimuat naik di Faceboknya semalam.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah berkata, peruntukan itu adalah bagi membiayai keseluruhan program dan aktiviti sempena Pesta Kaamatan yang akan diadakan sepanjang Mei depan.
Katanya, ia meliputi peringkat negeri dan daerah-daerah di seluruh Sabah.
Menurutnya, daerah Tambunan akan menjadi tuan rumah bagi Majlis Pelancaran Sambutan Pesta Kaamatan pada tahun ini.
“Selain itu, Buvazoi Tavantang Kaamatan yang dahulunya dikenali sebagai Mr Kaamatan kini secara rasmi menjadi sebahagian daripada program Pesta Kaamatan, dengan beberapa penambahbaikan dari segi konsep dan aktiviti,” katanya.
Dalam pada itu, Jeffrey berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan menyempurnakan Majlis Penutupan Pesta Kaamatan 2025 pada 31 Mei depan. – SABAH MEDIA