HomeUtamaLelaki 25 tahun dari Keningau mangsa terbaharu sindiket penipuan pekerjaan

Lelaki 25 tahun dari Keningau mangsa terbaharu sindiket penipuan pekerjaan

Read Time:2 Minute, 19 Second

Oleh FLORIETA DIET

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan berumur 25 tahun dari Keningau menjadi mangsa terbaharu sindiket penipuan pekerjaan selepas terpedaya dengan pujukan dan kemewahan yang ditunjukkan oleh dua orang rakannya.

Lelaki tersebut meninggalkan isteri dan bayi lelaki berusia tiga bulan di Sabah, kini terperangkap di Kemboja.

Menurut ibu mertua mangsa yang enggan dikenali, menantunya itu sebelum itu hanya memberitahu isiterinya mahu bekerja di Singapura sebagai tukang masak.

“Dia pergi ke Singapura pada 5 Mac lalu. Sejak itu ketika mereka berhubung dengannya, dia tidak pernah memberitahu lokasi sebenar atau dia bersama siapa. Pada 22 Mac lalu, barulah kami tahu bahawa dia tidak berada di Singapura tetapi di Kemboja apabila isterinya berjaya mengesan lokasi telefon bimbitnya. Suaminya kemudian mengesahkan dia berada di Kemboja. Selepas itu, kami terus buat laporan polis.

“Dia ada memberitahu kami dia diminta melakukan kerja berkaitan komputer, tetapi kerana dia tidak tahu melakukannya, dia tidak dibenarkan tidur dan makan.

“Dia juga beritahu kami, dia akan dibenarkan balik sekiranya kami sediakan wang sebanyak AS$7,000 (lebih RM30,000) sebagai pampasan kontrak dan dimasukkan ke akaunnya,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) pada Khamis.

Bagaimanapun ibu mertua mangsa memaklumkan bahawa keluarganya tidak mampu membayar pampasan itu kerana keluarganya tidak mempunyai wang sebanyak itu.

Sementara, isteri mangsa berumur 21 tahun menjelaskan bahawa jika gagal membayar pampasan berkenaan dia diugut diseksa dan dijual kepada sindiket lain.

“Semasa berhubung, dia memberitahu bahawa dikurung di kuaters dia… saya cuba minta lokasi dan dia hanya bagitahu bahawa dia berada di sebuah bilik paling hujung kiri, berhadapan bangunan tujuh tingkat. Saya juga minta dia cuba bekerja di sana buat sementara waktu agar senang selamatkan dia nanti,” katanya.

Suaminya yang belum pernah menjejak kaki ke luar negara dipujuk oleh dua orang rakan sekolah untuk bekerja sebagai tukang masak di Singapura.

Susulan kejadian itu, keluarga mangsa juga kini mendapatkan bantuan daripada MHO untuk mengetengahkan kes itu kepada pihak berkaitan.

Ketua Pegawai Operasi MHO Sabah, Kapten (B) Jerry Jaimeh berkata, sindiket itu mengugut mangsa akan diseksa dan dijual kepada sindiket lain jika keluarga gagal membayar wang pampasan itu.

Bagaimanapun, pihaknya tidak menggalakkan membayar pampasan itu kerana berdasarkan kes lain yang pernah berlaku, sekiranya bayaran dibuat, mangsa tetap berisiko dijual kepada sidiket lain.

“Kami berharap kerajaan Malaysia, Wisma Putra dapat bertindak segera dengan menghubungi pihak kedutaan Malaysia di Kemboja bagi melancarkan misi menyelamatkan mangsa.

“Kami di MHO juga berkolaborasi dengan pelbagai agensi lain seperti kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) lain di Kemboja bagi memastikan misi ini dapat dijalankan dengan segera. Kami harap suara ini didengar oleh pihak kerajaan,” katanya

Beliau berkata, ini amat menyedihkan kerana mangsa bukan ditipu melalui panggilan telefon atau scammer tetapi diperdaya oleh rakan sendiri.

“Saya berharap orang ramai jangan mudah terpedaya dengan sesiapa sahaja kerana kes ini sudah banyak berlaku,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Restoran popular mohon maaf berhubung dakwaan layanan mengecewakan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular