Kota Kinabalu: Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) menyantuni pesakit kanser di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah Likas (HWKKS) dalam program Ziarah Amal.
Yang Dipertua Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat (MUTIARA-GRS), Datin Seri Juliah Salag berkata, program tersebut bertujuan untuk memberi keceriaan kepada kanak-kanak pesakit kanser sempena bulan Ramadan dan menjelang sambutan Aidilfitri.

“Pada pagi ini MUTIARA GRS mengadakan lawatan ke hospital likas ini untuk melawat pesakit kanak-kanak yang yang menghidap kanser dengan usia yang masih muda, kita merasa sedih dan terkesan melihat keadaan anak-anak ini yang sepatutnya berada di sekolah atau di rumah, tetapi terpaksa menjalani rawatan di hospital.
“Mereka menjalani rawatan seperti kemoterapi setiap hari, dan sumbangan ini diharap dapat sedikit sebanyak mengurangkan kesedihan ibu bapa yang terkesan dengan penyakit anak-anak mereka.
“Terima kasih kepada pihak pengurusan hospital atas dedikasi mereka menjaga pesakit dan berharap sedikit sumbangan ini dapat memberi keceriaan kepada pesakit sempena bulan ramadan dan menjelang Aidilfitri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan Program Ziarah Amal di HWKKS, di sinim
Juliah turut menyatakan komitmen dan kerjasama berterusan dalam aktiviti kebajikan dengan pelbagai pihak, dalam usaha mengumpulkan dana untuk pesakit-pesakit kanser.
“Kami berusaha membantu sedaya mungkin dalam apa yang termampu sebagai contoh, pada Mei ini, kami akan bekerjasama dengan pertubuhan kanser seperti Pink Ribbon untuk mengumpul dana bagi membeli sebuah mesin bagi kegunaan pesakit kanser,” katanya.
Dalam program tersebut, Juliah turut menyampaikan sumbangan bakul makanan dan sampul raya kepada pesakit di wad hospital dan menyumbangkan 11 buah kerusi roda kepada HWKKS.
Sementara itu, Pengarah HWKKS, Dr. Yogendra A/L Panchalingam merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Mutiara GRS atas sumbangan kerusi roda tersebut serta kunjungan mereka ke Wad 4 untuk menyantuni pesakit.
“Pihak hospital amat menghargai sumbangan ini kerana ia sedikit sebanyak dapat membantu dari segi menambahbaik keperluan fasiliti di hospital ini dan dapat meringankan beban kewangan pesakit dan keluarga,” katanyam
Seramai 16 kanak-kanak pesakit kanser terdiri 10 lelaki dan 6 wanita dari Pusat Perubatan Nuklear dan Radioterapi HWKKS Likas disantuni dalam program berkenaan.-