Kota Kinabalu: Pelaksanaan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid dan pelajar sekolah bermula 21 April depan disifatkan sebagai langkah positif ke arah memupuk semangat patriotik dalam kalangan generasi muda.
Focal Person Kebangsaan Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Mohd Arif Tun Sakaran berkata, pihaknya turut menyambut baik inisiatif yang dilaksanakan kerajaan Persekutuan.
Katanya, pelaksanaan itu wajar disokong oleh semua pihak, khususnya ibu bapa dan pendekatan itu juga boleh dilihat sebagai satu cara untuk memperkenalkan imej murid dan pelajar Malaysia yang taat dan cintakan negara.
“Saya sangat menyambut baik pelaksanaan inisiatif ini oleh KPM, lebih-lebih lagi ia membabitkan semua murid dan pelajar serta warga pendidik di sekolah.
“Ini kerana sekolah adalah tempat kita mula menerapkan nilai murni dalam kalangan murid dan pelajar dan dalam perkara ini, kita melihat bagaimana untuk mendidik pelajar taat kepada negara. Semangat patriotisme juga boleh diterapkan melalui pemakaian lencana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Khatam Al-Quran dan Sekampit Beras sempena Ramadan di Sekolah Menengah (SM) Maktab Sabah, di sini, hari ini.
Arif berkata, pelaksanaan inisiatif itu juga wajar dikembangkan hingga ke institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai satu langkah usaha bagi menyemarakkan semangat cintakan negara melalui pemakaian lencana.
“Saya percaya ia satu cara yang berkesan untuk memupuk semangat patriotik generasi muda dan saya berharap ia dapat dilancarkan serentak di semua sekolah kerana ia adalah sesuatu yang penting.
Dalam pada itu, Arif yang juga Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SM Maktab Sabah berkata, inisiatif itu memang patut disokong demi masa depan anak-anak sebagai pewaris negara.
“Sebagai PIBG dan ibu bapa, kita memang sentiasa bersama pihak sekolah dalam menyokong dan menyambut baik usaha yang dianjurkan oleh KPM supaya nilai murni ini diterapkan dalam diri anak-anak kita,” katanya.
Semalam, KPM menerusi satu kenyataan memaklumkan langkah melaksanakan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid dan pelajar di inatitusi pendidikan kelolaan KPM berkuat kuasa mulai 21 April depan.
Ia membabitkan semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPG). – SABAH MEDIA