Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menegur tindakan Parti Warisan yang mengheret institusi Istana Negeri ke dalam permainan politik dan pembohongan terutama dalam kalangan pemimpin parti itu.
Katanya, hantaran di media sosial dua pemimpin parti itu iaitu Datuk Darell Leiking dan Datuk Mohd Azis Jamman yang mempersoalkan sambutan rasmi hari jadi Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman dilihat berniat tidak baik.
“Sebagai Ketua Menteri, saya bertanggungjawab untuk melindungi dan mempertahankan institusi Istana, tanpa mengira siapa yang menjadi Tuan Yang Terutama.
“Jelas sekali politik telah mengaburi penilaian mereka (Darell dan Azis), sehingga tidak dapat membezakan perbezaan asas antara kerajaan, politik dan Istana.
“Institusi Istana bersifat apolitikal dan tidak seharusnya diseret ke dalam politik jalanan penuh pembohongan dan penipuan Warisan,” katanya dalan kenyataan di sini hari ini.
Hajiji berkata, Tun Musa mencadangkan agar tidak diadakan sebarang sambutan tahun ini kerana tarikh rasmi hari jadi Tuan Yang Terutama (TYT) telah diwartakan pada 30 Mac, yang bertembung dengan sambutan Hari Raya.
“Malah, Tun Musa juga tidak mahu membebankan pihak yang terlibat dalam penganjuran sambutan memandangkan masa yang singkat serta kos yang tidak perlu.
“Namun, sebagai Ketua Menteri, saya merasakan bahawa sebarang keputusan yang dibuat mesti dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet Negeri,” katanya.
Hajiji berkata, selepas perbincangan, Kabinet bersetuju bahawa sambutan sewajarnya perlu diadakan para tahun ini mengikut konvensyen dan tradisi Istana.
“Oleh itu, diputuskan bahawa sambutan akan diadakan pada bulan Jun, tetapi secara sederhana mengikut kehendak dan nasihat Tun Musa,” katanya.
Sehubungan itu, Hajiji berkata, jumlah acara yang akan diadakan telah dikurangkan daripada 12 pada tahun lalu kepada hanya tujuh tahun ini, sekali gus mengurangkan perbelanjaan sebanyak kira-kira 30 peratus.
Beliau berkata, Darell dan Azis pernah berada dalam kerajaan sebelum ini dan mereka sepatutnya tahu apa yang terlibat dalam persiapan hari jadi TYT. – SABAH MEDIA