Oleh J. EVACHEL JOHN
KIULU: Lebih 1,400 petani di Kiulu bakal mendapat akses yang lebih baik ke kawasan pertanian seluas 6,680 ekar susulan usaha menaik taraf jalan pertanian dan memperkukuh sektor pertanian, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai.
Beliau berkata, akses jalan yang lebih baik adalah kunci bagi memastikan petani dapat memanfaatkan tanah mereka sepenuhnya dan meningkatkan produktiviti.
Sebanyak RM1.5 juta daripada dana kawasan beliau diperuntukkan bagi pembinaan dan naik taraf 47 jalan pertanian yang telah dikenal pasti tahun ini, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan menyokong komuniti petani.
“Seiring dengan usaha menambah baik kesalinghubungan, saya juga ingin melihat lebih ramai penduduk kampung membuka tanah mereka untuk pertanian sebagai sumber pendapatan yang mampan,” katanya pada majlis penutupan Kursus Pengenalan Vermikompos dan Cantuman Durian di sini, pada Jumaat.
Kursus anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah dengan kerjasama Pejabat Daerah Kecil Kiulu itu dihadiri lebih daripada 30 peserta, termasuk golongan belia.
Joniston menegaskan bahawa infrastruktur sahaja tidak mencukupi, justeru kursus berkaitan pertanian akan dipergiat bagi membekalkan petani dengan pengetahuan dan kemahiran yang lebih komprehensif.
“Ini akan dilaksanakan dengan sokongan serta kerjasama jabatan dan agensi berkaitan bagi memastikan latihan dan bimbingan yang sewajarnya diberikan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa perbincangan bagi memperkukuh pembangunan pertanian di Kiulu telah diadakan bersama Pejabat Pertanian Daerah Tuaran dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
Walaupun Kiulu terkenal sebagai destinasi pelancongan luar bandar, Joniston berkata tumpuan kini diberikan kepada usaha memperluas peluang dalam sektor pertanian, termasuk penanaman tanaman bernilai tinggi.
“Kami juga melihat potensi penanaman vanila sebagai sumber pendapatan, dan baru-baru ini, pusat khidmat saya telah menganjurkan lawatan lebih daripada 20 petani ke sebuah ladang vanila yang berjaya di Kimanis,” katanya.
Joniston berkata, penambahbaikan infrastruktur dan latihan akan menyokong petani serta mewujudkan peluang dalam agro-pelancongan, sekali gus menjadikan Kiulu sebagai model pembangunan ekonomi luar bandar.