HomeUtamaKritikan melampau hakis rasa hormat terhadap TYT

Kritikan melampau hakis rasa hormat terhadap TYT

Read Time:2 Minute, 8 Second

PENAMPANG: Sambutan rasmi Hari Jadi Yang Dipertua Negeri (TYT) telah lama menjadi simbol perpaduan rakyat serta tanda penghormatan kepada Yang Dipertua Negeri dan institusi yang diwakilinya.

Presiden Majlis Jaksa Pendamai Sabah (MAJAPS), Datuk Seri Clarence Bongkos Malakun berkata, ia bukan bertujuan untuk mengagungkan mana-mana individu tetapi sebagai menghormati institusi Yang Dipertua Negeri yang sekian lama menjadi tunjang kepada identiti dan pentadbiran Sabah.

Katanya, beliau agak bimbang melihat ada pihak yang mempersoalkan sambutan berkenaan sedangkan TYT adalah simbol kedaulatan Sabah, perpaduan rakyat dan kestabilan negeri.

Beliau berkata, biarpun negeri ini tidak mempunyai Sultan, TYT memainkan peranan yang sama seperti dalam memelihara istiadat negeri di bawah sistem raja berperlembagaan Malaysia.

“Oleh itu, memberikan penghormatan kepada TYT adalah sinonim dengan mempertahankan identiti Sabah serta menghormati kerangka perlembagaan negara kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini mengenai kritikan terhadap sambutan Hari Jadi Rasmi TYT.

Clarence berkata, kerajaan negeri mengambil kira sentimen rakyat dengan mengurangkan skala sambutan tahun ini.

Menurutnya, jumlah acara rasmi telah dikurangkan kepada tujuh berbanding 12 pada tahun 2024. Malah, bajet juga telah dikurangkan sebanyak 30 peratus.

“Langkah penjimatan ini akan memastikan sambutan dilaksanakan secara sederhana tanpa mengurangkan makna serta tradisinya.

“Lebih penting lagi, kesemua tujuh acara ini adalah komponen yang telah lama menjadi sebahagian daripada perayaan Hari Jadi TYT termasuk istiadat penganugerahan darjah kebesaran negeri serta program kemasyarakatan yang mempererat hubungan antara TYT dan rakyat,” jelasnya.

Clarence berkata, MAJAPS percaya gesaan untuk “menghentikan” sambutan ini dengan mendakwa ia satu pembaziran sumber awam, gesaan sebegitu tidak berasas dan tidak wajar.

“Kritikan melampau ini bukan sahaja mengabaikan kepentingan acara tersebut, tetapi juga boleh menghakis rasa hormat rakyat terhadap institusi TYT.

“Kami ingin menyeru agar sebarang pandangan atau maklum balas disampaikan secara berhemah dan berasaskan fakta, bukannya melalui kenyataan yang boleh dianggap sebagai penghinaan kepada institusi tertinggi negeri.

“Walaupun kami menghormati kebebasan bersuara, ia harus diamalkan dengan penuh tanggungjawab agar tidak menjejaskan maruah TYT, yang pada asasnya mencerminkan maruah Sabah itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, beliau menegaskan bahawa mengadakan sambutan Hari Jadi TYT tidak bermaksud kerajaan mengabaikan keperluan mendesak rakyat.

“Biarpun sambutan tahun ini diadakan secara sederhana, kesejahteraan dan pembangunan rakyat tetap menjadi keutamaan,” tambahnya.

Clarence berkata, tuduhan bahawa sambutan ini hanyalah ‘teater politik’ atau ‘sekadar untuk bermegah’ adalah tidak berasas dan mengelirukan.

Sehubungan itu, katanya, MAJAPS menyeru semua pihak untuk bersama-sama menjadikan sambutan rasmi Hari Jadi TYT sebagai satu acara yang dapat memupuk perpaduan.

“Marilah kita terus menunjukkan rasa hormat terhadap institusi TYT yang merupakan salah satu tonggak kestabilan,” katanya.

Jelasnya, MAJAPS akan terus menyokong inisiatif yang memperkukuhkan perpaduan, menegakkan tradisi perlembagaan Sabah dan mengekalkan keharmonian.

RELATED ARTICLES
Dr Jelani (kiri) dan Dr Romzi.
Utama

Hentikan pertikaian sambutan Hari Jadi TYT Sabah, demi imej institusi istana...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular