Oleh FLORIETA DIET
HONG KONG: Industri filem dan seni Sabah menerima lonjakan pendedahan antarabangsa dengan penyertaan Persatuan Filem dan Visual Sabah (SAFVA) dan Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (SCENIC) di Pasaran Filem & TV Antarabangsa Hong Kong (FILMART) 2025, yang telah berlangsung pada 17 hingga 20 Mac lalu.
FILMART adalah salah satu pameran terbesar dalam industri kreatif di Asia, yang menyaksikan ribuan pembuat filem dari seluruh dunia berkumpul untuk berkongsi maklumat dan karya kreatif.
Seramai lapan wakil dari SAFVA bersama 12 filem terbaik dan dokumentari tempatan mereka, turut mewakili Malaysia di bawah Pavilion Malaysia pada acara ini. Penyertaan ini membuka peluang besar untuk mempromosikan industri filem Sabah di peringkat global.
Turut hadir bersama delegasi Sabah adalah ahli SCENIC yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Viviantie Sarjuni, serta dua pegawai lain, Larain Laminih dan Eva Chris Anthony. Kehadiran SCENIC di FILMART 2025 menunjukkan sokongan terhadap perkembangan industri kreatif Sabah, khususnya dalam usaha mengukuhkan kedudukannya di pentas global.
Beberapa filem yang mendapat perhatian antarabangsa semasa acara ini termasuk Mantera, yang diarahkan oleh Chester Pang dan dijadualkan untuk tayangan di pawagam Malaysia pada 24 April 2025. Selain itu, produksi lain seperti Ninavau oleh Bebbra Mailin dan Ballad of The Half-Boy oleh Nadira Ilana turut mendapat sambutan kerana kekuatan budaya Borneo yang dipaparkan melalui sinematik yang unik.
Genre filem lain yang turut dipamerkan termasuk 8 Bucks Tycoon & Craze Below The Wind (arah Katak Chua), Avakas, Silence of the 177, Mad Mamai (sebuah produksi Marc Abas), Maria (Ryot Ujin), The Sight of Borneo Kirin (dokumentari, oleh Allahyarham Pentium Tee), The Inherent Tribe: Tatana (Chester Pang), dan Chasing Birdwing Borneo (William Chiang).
Menerusi satu kenyataan media semalam, Viviantie menyatakan bahawa penyertaan ini memberikan peluang besar untuk mempelajari aspek penting dalam pengurusan pengeluaran filem berskala besar, keperluan tenaga kerja profesional, serta strategi pembiayaan filem yang dapat meningkatkan pemahaman terhadap impak industri kreatif terhadap ekonomi Sabah.
“Pemasaran dan penjenamaan filem melalui barangan filem adalah aspek penting yang dapat memberikan pendapatan tambahan. Delegasi Sabah turut melihat potensi untuk mengoptimumkan lokasi penggambaran yang memiliki nilai sinematik tinggi di Sabah serta memanfaatkan modal insan kreatif tempatan,” katanya.
Sabah kini berada pada landasan yang kukuh untuk mengembangkan industri filemnya, dengan lapan filem fiksyen yang dihasilkan di Sabah dijadualkan untuk tayangan di pawagam seluruh negara pada tahun ini dan 2026. Ini akan memperkukuhkan kedudukan Sabah sebagai destinasi penggambaran utama di Malaysia dan rantau Borneo.
Viviantie turut menekankan pentingnya pembangunan kapasiti dan bakat dalam industri filem Sabah, melalui program latihan berstruktur, mentor, dan bengkel untuk memupuk pembuat filem dan kru yang berkemahiran. Pelaburan dalam studio pengeluaran dan kemudahan pasca-produksi juga perlu ditingkatkan untuk mengurangkan pergantungan kepada sumber luar.
Dalam pada itu, industri filem Sabah berdepan beberapa cabaran, antaranya kekurangan kemudahan pengeluaran berkualiti tinggi, dana khusus untuk filem, serta saluran pengedaran yang terhad yang menyukarkan filem-filem buatan Sabah untuk mencapai penonton yang lebih luas.
Namun, menurut Viviantie, dengan sokongan yang lebih kukuh dari kerajaan dan kerjasama industri, serta inisiatif seperti program SCENIC, momentum perkembangan industri filem Sabah akan terus meningkat.
Sementara itu, Ketua SAFVA, Chester Pang, berkata bahawa selepas menjenamakan semula KKFVA, mereka memberi tumpuan kepada memperkukuhkan perkhidmatan persatuan dan membangunkan ekosistem penggambaran yang berkembang pesat di seluruh Sabah.
“Cabaran utama kami adalah mendapatkan sokongan yang mencukupi dari kerajaan Sabah dan entiti korporat untuk meningkatkan kualiti visual pengeluaran dan menyediakan latihan khusus bagi memperkasakan kru tempatan,” katanya.
Pang juga berkata, sokongan daripada agensi kerajaan persekutuan seperti FINAS dan My Creative Ventures telah memberi impak yang besar, dengan beberapa filem menerima bantuan geran. Ini memberi harapan kepada industri filem Sabah untuk terus berkembang, dengan peningkatan peluang untuk pengedaran kandungan di pasaran antarabangsa.