HomeIsu tempatan70 ibu tunggal, warga emas terima bantuan bakul makanan

70 ibu tunggal, warga emas terima bantuan bakul makanan

Read Time:1 Minute, 16 Second

Kota Kinabalu : Seramai 70 ibu tunggal dan warga emas dari kategori miskin tegar menerima bantuan berupa bakul makanan dan juadah berbuka puasa dalam satu program kebajikan di sini baru-baru ini.

Program itu dianjurkan Persatuan Warisan Wanita Kreatif Sabah dengan kerjasama Persatuan Wiramuda Sabah.

Majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Darau Laut itu turut mendapat sokongan daripada syarikat Sazarice Sdn Bhd, yang menyumbangkan 70 kampit beras bagi memastikan golongan yang memerlukan mendapat bantuan sewajarnya.

Pengerusi Persatuan Wiranita Sabah merangkap Pengerusi Persatuan Warisan Wanita Kreatif Sabah, Datin Seri Nollyzai Awang Sham berkata, program ini bukan sahaja menyediakan juadah berbuka puasa kepada komuniti setempat, tetapi juga sebagai satu inisiatif kebajikan untuk membantu mereka yang menghadapi kesukaran dalam kehidupan seharian.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh nilai kebersamaan dalam masyarakat. Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat mengurangkan beban ibu tunggal dan warga emas, terutama dalam menyambut bulan Ramadan yang penuh keberkatan,” katanya.

Turut hadir dalam program ini ialah Ketua Wiranita dan Timbalan Wiranita DUN Darau, yang turut sama menyumbangkan makanan berbuka puasa kepada penerima.

Menurut Nollyzai, program kebajikan seperti ini merupakan sebahagian daripada kalender tahunan Wiranita Darau dalam usaha memperkasakan aktiviti kebajikan dan membantu golongan yang kurang bernasib baik.

“Kerjasama erat antara badan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat, dan masyarakat setempat membuktikan bahawa kebajikan dan kesejahteraan komuniti adalah tanggungjawab bersama,” katanya.

Beliau berharap agar program seperti ini dapat terus diperluaskan bagi memberi manfaat kepada lebih ramai golongan yang memerlukan serta menjadi pemangkin kepada semangat perpaduan dan nilai kemanusiaan yang tinggi dalam masyarakat. –SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

PAADIAN agih pek makanan di hospital

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular