Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Seramai 45 warga asing dijatuhi hukuman penjara empat bulan kerana memasuki Sabah tanpa pas yang sah, manakala lima individu lain didenda kerana menyalahgunakan Pas Lawatan Kerja Sementara.
Kesemua tertuduh yang merupakan warganegara Filipina dan Indonesia mengaku bersalah di hadapan hakim mahkamah Sesyen Hurman Hussain.
Dalam kes pertama, 45 warga asing ditahan pada 12 dan 13 Mac di beberapa lokasi sekitar Kota Kinabalu, Papar, dan Ranau kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Kesemua mereka didakwa dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, atau denda sehingga RM10,000, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, lima warga Filipina didenda RM500 atau dipenjara selama tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut kerana melanggar syarat Pas Lawatan Kerja Sementara yang diberikan kepada mereka.
Tertuduh adalah Arquiza Armando Gumabon, Pag Iwayan Richie Hilapon, Eleuterio Edna Reyes, Espanol Mitchell Taguran, dan Wendy Hutalla.
Menurut kertas pertuduhan, Pas Lawatan Kerja Sementara yang dikeluarkan kepada tertuduh adalah untuk bekerja dengan seorang majikan sebagai pekerja kebun sayur, buah, atau sawah padi (garden worker), namun mereka didapati bekerja di premis refleksologi sebagai tukang urut.
Mereka ditahan pada 13 Mac, jam 10.22 malam, di sebuah pusat refleksologi dan terapi dekat sini.
Mereka didakwa mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 yang memperuntukkan denda tidak melebihi Rm1,000 atau penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kelima-lima tertuduh telah membayar denda.
Mahkamah turut memerintahkan kesemua tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen bagi tindakan lanjut.
Pegawai Pendakwa Baxter Junior Goh dan Norizan Awang Tanda mengendalikan pendakwaan, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.