Sandakan : Pengguna laluan di Jalan Buli Sim Sim di sini diminta untuk menggunakan jalan alternatif berikutan jalan berkenaan ditutupi batu besar yang telah runtuh sekitar jam 10 pagi tadi.
Makluman itu dinyatakan menerusi kemaskini di media sosial Facebook Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat Frankie Poon Ming Fung.
“Pagi ini sekitar jam 10 pagi, seketul batu besar telah runtuh dari cerun bukit dan menghalang sepenuhnya laluan jalanraya di Jalan Buli Sim Sim (berhadapan dengan Tokong Pau Kung).

“Saya telah turun padang untuk memantau keadaan dan menghubungi pihak berwajib termasuk JKR (Jabatan Kerja Raya) untuk mengambil tindakan segera bagi memecah dan mengalihkan batu tersebut dan pihak polis trafik juga berada di tempat kejadian untuk mengawal lalulintas,” katanya.
Berikutan itu, beliau berkata, jalan berkenaan disekat buat sementara waktu sehingga kerja-kerja pembersihan selesai.
“Sila ikut arahan pihak berkuasa dan guna laluan alternatif demi keselamatan. Keselamatan anda keutamaan kami!. Terima kasih kepada anggota polis trafik yang pantas bertindak,” katanya. – SABAH MEDIA