HomeUtamaTop 7 UNK 2024 serlahkan keunikan pakaian tradisi Sabah

Top 7 UNK 2024 serlahkan keunikan pakaian tradisi Sabah

Read Time:1 Minute, 41 Second

Oleh J. EVACHEL JOHN

KOTA KINABALU: Keindahan dan keunikan pakaian tradisi Sabah sekali lagi mencuri tumpuan, menampilkan tujuh finalis teratas Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) 2024 memperagakan pakaian tradisi dalam satu sesi fotografi khas di Hongkod Koisaan KDCA (Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun), Penampang.

Inisiatif ini bukan sahaja menonjolkan kepelbagaian pakaian tradisi Sabah, tetapi juga menjadi kenangan bermakna bagi kumpulan pertama yang diiktiraf sebagai UNK peringkat kebangsaan.

Pemenang gelaran UNK 2024, Hyellene Danius, tampil anggun dengan pakaian tradisi ‘Linangkitan Dusun Gana Keningau’, manakala naib johan, Elldiwirna Saimen, mewakili Kiulu, menggayakan pakaian tradisi ‘Sinulamba Sumandak Kiulu’.

Monicka Majin, pemenang tempat ketiga UNK 2024 mewakili Keningau; Liane Melve Dwight Grace, pemenang tempat kelima UNK 2024 yang mewakili Tenom; dan Richella Kan, pemenang tempat ketujuh UNK 2024 mewakili Kemabong, masing-masing menggayakan pakaian tradisi ‘Pinongkoloh Murut’.

Manakala Romandawi Gapari, pemenang tempat keempat UNK 2024, yang mewakili KDCA Johor, tampil elegan dengan pakaian tradisi ‘Sinombiaka Pinolongon Tambunan’, manakala Elviana Gunong, pemenang tempat keenam UNK 2024, yang mewakili Tongod, menyerlah dengan pakaian tradisi ‘Sungai Sinabu Tongod.’

“Saya mencetuskan idea ini kerana jarang sekali tujuh teratas dapat berkumpul bersama, memandangkan kebiasaannya yang dapat berkumpul hanya tiga finalis teratas. Semua rakan finalis turut bersetuju dan menyambut baik idea ini, membolehkan ia direalisasikan dengan jayanya.

“Lebih istimewa, batch (kumpulan) kami merupakan yang pertama diiktiraf sebagai Unduk Ngadau peringkat Kebangsaan, menjadikan momen ini bersejarah dan wajar didokumentasikan sebagai kenangan berharga,” kata Romandawi ketika dihubungi Sabah Media.

Pertandingan Unduk Ngadau sering menjadi tumpuan sebagai acara kemuncak sambutan Pesta Kaamatan di Sabah, dengan pusingan akhir berlangsung pada 31 Mei.

Sejak 2015, jawatankuasa Unduk Ngadau dibawah pimpinan Pengerusi Majlis Wanita KDCA, Datuk Joanna Kitingan, telah memperkenalkan konsep ‘back to basic’ yang menekankan kepada pemakaian pakaian tradisi asli mengikut daerah yang diwakili oleh setiap peserta.

Inisiatif ini telah membawa kepada kemunculan pelbagai pakaian tradisi yang jarang diketengahkan di atas pentas UNK, sekali gus menjadi pencetus kepada kesedaran diri untuk lebih menghargai pakaian tradisi.

Pesta Kaamatan akan dilancarkan pada 1 Mei, dengan daerah Tambunan menjadi tuan rumah majlis pelancaran sambutan Pesta Kaamatan 2025.

RELATED ARTICLES
Utama

PM Anwar beri jaminan malaysia tidak akan alami kemelesetan meskipun tarif...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular