Oleh FLORIETA DIET
KOTA KINABALU: Semua komponen parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah mencapai kesepakatan yang telah dibina selama ini, kata Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Masidi Manjun.
“Kesepakatan ini akan memudahkan perundingan mengenai pembahagian kerusi apabila masanya tiba. Kita tidak rasa tergesa-gesa untuk berbincang mengenai pengagihan kerusi, kerana kita tidak tahu bila pilihanraya akan diadakan.
“Apa yang menjadi fokus utama kami sekarang adalah kerja dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Sabtu.
Masidi yang juga Menteri Kewangan menjelaskan bahawa meskipun perbincangan dalam GRS telah berlangsung secara informal, mesyuarat formal untuk membincangkan perkara tersebut masih belum ditetapkan.
Dalam perkembangan lain, Masidi memberitahu bahawa kementeriannya akan menyegerakan pengagihan peruntukan yang telah dibentangkan dalam Belanjawan 2025.
Beliau berkata, pegawai-pegawainya telah diarahkan untuk memastikan bahawa peruntukan tersebut dapat disalurkan dengan segera kepada agensi-agensi dan kementerian yang berkenaan.