Oleh FLORIETA DIET
KOTA KINABALU: Semua pihak berkaitan atau terlibat dalam industri gas domestik untuk menilai semula tahap keselamatan penyaluran gas, agar insiden di Putra Heights tidak berlaku di Sabah, kata Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun.
“Keperluan untuk memastikan keselamatan dalam penyaluran gas amat penting, lebih-lebih lagi di kawasan yang padat penduduknya.
“Insiden Putra Heights harus menjadi pengajaran bagi kita semua, terutama apabila kita melihat perkembangan pesat dalam sektor industri di Sabah,” katanya selepas menghadiri dalam sidang akhbar di Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Sabtu.
Pada 1 April, sebuah kemalangan industri besar berlaku di Putra Heights, Subang Jaya, di Selangor, apabila saluran paip gas milik Petronas bocor lalu mengakibatkan letupan dan kebakaran besar.
Kebakaran yang bermula pada waktu pagi, bertepatan dengan hari kedua sambutan Aidilfitri menghasilkan api sepanjang kira-kira 500 meter yang boleh dilihat dari jarak yang jauh.
Insiden itu menyebabkan kecederaan kepada 145 individu, dengan 104 memerlukan kemasukan ke hospital, dan memerlukan pemindahan kecemasan di daerah kediaman sekitar.