Kota Kinabalu: Langkah keselamatan telah diaktifkan di laluan berhampiran Jalan Buli Sim-Sim selepas kejadian bongkah batu besar yang runtuh pada Khamis lalu.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, berikutan kejadian itu, pihak terlibat terutama Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memastikan langkah berjaga-jaga akan terus diambil.
“Setiap kali ada kejadian tanah runtuh ataupun batu terjatuh seperti demikian, pihak JKR melalui jurutera daerah dan juga sekiranya ada konsesi yang dilantik terlibat dalam kawasan tersebut, mereka akan mengenakan ataupun mengaktifkan apa yang kita panggil ‘Emergency Response Team’ (ERT).
“Jadi perkara pertama yang akan diambil adalah untuk memastikan bahawa tempat kejadian itu, tahap keselamatan diaktifkan, kalau di atas jalan raya macam kes ini batu besar jatuh atas jalan raya maka pihak JKR akan memastikan bahawa keselamatan dan hasil daripada runtuhan tersebut masih dikawal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kerajaan negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman dan isteri Toh Puan Faridah Tussin.
Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri Datin Seri Juliah Salag.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, pada ketika ini pihaknya masih menunggu laporan penuh berhubung kejadian itu.
Katanya, kejadian itu mungkin disebabkan oleh cuaca basah dan hujan berterusan.
“Tapi punca-punca teknikal nanti kita tunggulah apa laporang yang akan dilaksanakan, jadi kita menasihatkan kepada semua pengguna jalan raya terutama yang melalui kawasan-kawasan cerun yang mungkin kurang stabil disebabkan oleh taburan hujan yang agak tinggi untuk sentiasa berhati-hati,” katanya.
Khamis lalu, bongkah batu telah runtuh menutupi laluan Jalan Buli Sim Sim Sandakan menyebabkan laluan berkenaan terpaksa ditutup kepada pengguna jalan raya di kawasan berkenaan. – SABAH MEDIA