HomeUtamaKelulusan Dokumen Pengenalan: Surat bekas Ketua Menteri jadi tanda tanya

Kelulusan Dokumen Pengenalan: Surat bekas Ketua Menteri jadi tanda tanya

Read Time:1 Minute, 44 Second

KOTA KINABALU: Dua surat rasmi yang didakwa mengandungi arahan daripada bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal, berhubung kelulusan dokumen pengenalan diri, mencetuskan desakan agar siasatan menyeluruh dijalankan terhadap kemungkinan berlaku campur tangan politik dalam sistem pendaftaran negara.

Surat bertarikh 26 April dan 9 Oktober 2019 itu tular di media sosial selepas didedahkan kepada umum. Dalam satu daripadanya, Shafie dilihat mengarahkan permohonan diluluskan, manakala satu lagi memuatkan minit kepada Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang berbunyi: “sukacita dapat diluluskan.”

Pendedahan ini mencetuskan reaksi keras daripada pelbagai pihak termasuk Pengerusi Majlis Belia KDCA, Steve Johnny Mositun, yang menganggap perkara itu tidak wajar dan mengundang persoalan mengenai tahap pengaruh politik negeri dalam urusan dokumen seperti MyKAS, MyPR dan MyKAD.

“Ketua Menteri memang tiada kuasa mutlak luluskan kewarganegaraan, itu kita setuju. Tapi kenapa ada minit rasmi daripada beliau minta permohonan diluluskan? Itu yang jadi tanda tanya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Steve menjelaskan bahawa MyKAS walaupun hanya dokumen sementara, ia sebenarnya menjadi ‘pintu masuk’ kepada status pemastautin tetap dan akhirnya kewarganegaraan penuh.

“Kalau kelulusan MyKAS pun boleh dipengaruhi politik, ini sesuatu yang amat membimbangkan. Integriti sistem kita boleh terancam,” tambahnya.

Susulan itu, beliau mendesak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tampil menjelaskan secara terbuka jumlah permohonan dokumen pengenalan yang mendapat minit sokongan daripada Shafie sepanjang pentadbirannya dari 2018 hingga 2020.

Antara soalan yang dibangkitkan:

  • Adakah semua permohonan itu telah melalui tapisan keselamatan dan dokumentasi yang sah?
  • Apakah asas kepada kelulusan berkenaan?
  • Adakah ia melanggar Akta Pendaftaran Negara 1959 atau mana-mana peruntukan Perlembagaan?

Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kemungkinan wujud penyalahgunaan kuasa atau ketirisan pentadbiran.

Steve turut mengimbas kembali sejarah hitam ‘Projek IC’ yang pernah menghantui Sabah, menyaksikan pemberian kewarganegaraan kepada warga asing secara tidak sah pada masa lalu.

“Kita pernah terbakar dengan isu ni. Jangan biar api lama menyala semula melalui pintu belakang,” tegasnya.

Beliau turut menggesa agar penjelasan terbuka diberikan kepada rakyat Sabah, khususnya golongan muda, yang berhak tahu kebenaran di sebalik isu yang sedang hangat diperkatakan itu.

RELATED ARTICLES
Utama

Hajiji tidak terlibat dalam video berkaitan dakwaan rasuah lapan ADUN Sabah...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular