RANAU: Sebuah kereta jenis Perodua Axia dipercayai terbabas sendiri sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira enam meter dalam satu kejadian kemalangan di Kampung Kinarasan, Jalan Ranau-Tambunan pada petang Sabtu (5 April).
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysian(JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 3.46 petang menerusi talian MERS999, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 10 kilometer dari balai.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan ll (PBKII) Waslie Saupin, jentera bomba tiba di lokasi pada jam 4.00 petang bersama lima anggota, dibantu oleh agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Siasatan awal mendapati, kenderaan dinaiki lima lelaki dewasa itu dipercayai terbabas lalu jatuh ke dalam gaung. Seorang mangsa mengalami kecederaan ringan dan diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Empat lagi mangsa dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.30 petang setelah pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di kawasan kejadian.
Sementara itu, di lokasi berlainan, dua individu cedera selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Kubang Pinang, Semporna pada petang Sabtu.
Menurut kenyataan PGO JBPM Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.17 petang menerusi talian MERS999.
Sepasukan lima anggota dari BBP Semporna bersama sebuah jentera LFRT telah dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 15 kilometer dari balai.
Komander Operasi, PBKII Asmarie Nordanig berkata, kemalangan tersebut melibatkan tiga buah kenderaan iaitu Perodua Axia, Perodua Alza dan Isuzu DMAX.
“Hasil siasatan mendapati dua mangsa yang menaiki Perodua Axia mengalami kecederaan dan telah diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Semporna menggunakan jentera EMRS dan ambulans KKM untuk rawatan lanjut.
“Manakala pemandu dan penumpang Isuzu DMAX serta Perodua Alza tidak mengalami kecederaan. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.11 petang selepas memastikan tiada bahaya lain di kawasan kejadian,” katanya.