Kota Kinabalu : Semua pihak khususnya pemaju dan pihak berkepentingan dalam pembinaan saluran paip gas diingatkan untuk sentiasa mematuhi prosedur keselamatan yang telah ditetapkan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Ir. Ts. Ahmad Izram Osman berkata, pihak berkuasa khususnya Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP); pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi lain mempunyai syarat ketat yang perlu dipatuhi.
“Syarat yang ditetapkan bukan sekadar kita reka tetapi kita merujuk kepada standard yang perlu dipatuhi semua pihak terlibat agar keselamatan semua pihak tidak ada masalah.
“kita tidak perlu risau bahawa sebenarnya penghantaran ataupun penyaluran pemindahan gas ini melalui paip adalah antara yang paling selamat sebenarnya kalau dibandingkan dengan menggunakan jalan raya, tangku ataupun kereta api, jadi dari segi kebarangkalian ataupun kemungkinan untuk berlakunya kecelakaan ini amat rendah,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas insiden letupan paip gas di Putra Heights, Selangor, pada 1 April yang mencederakan 111 orang dan menyebabkan lebih 500 penduduk dipindahkan.
Ahmad berkata, penyelenggaraan berkala memastikan risiko bencana diminimumkan dan pemaju perlu mengikuti prosedur yang ditetapkan.
Sementara itu, beliau berkata, JBPM Sabah kini mencapai 92 peratus kesiapsiagaan dari segi aset dan tenaga kerja.
“Kecekapan anggota lebih penting daripada aset terbaik,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO JBPM SABAH