Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Sabah terus menjadi contoh perpaduan antara kaum yang kukuh, di mana semangat hormat menghormati dan toleransi masih diamalkan oleh rakyatnya.
Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini menyaksikan lebih 20,000 pengunjung terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang berkumpul bersama meraikan lebaran.
Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin.
Majlis itu yang dihadiri oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Juliah Salag turut menyampaikan sumbangan kepada warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan asnaf daripada sembilan buah institusi kebajikan sekitar kawasan pantai barat.
Dalam ucapannya semasa beramah mesra dengan para pengunjung, Hajiji mengajak rakyat berbilang kaum menggunakan sambutan Hari Raya Aidilfitri sebagai platform untuk mengeratkan lagi perpaduan dan persefahaman.
Turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M.Yahya, Timbalan-Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Seri Dr.Jeffrey G.Kitingan, Datuk Seri Dr.Joachim Gunsalam dan Datuk Shahelmey Yahya serta menteri-menteri kabinet negeri.
Sementara itu, Shahelmey ketika ditemui media berkata: “Apa yang menarik seperti tahun-tahun sebelumnya, Rumah Terbuka Aidilfitri ini disambut oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk yang bukan Islam dan ada juga pelancong asing yang hadir. Jadi, ini satu bukti bahawa perasaan hormat menghormati sesama masyarakat dan juga toleransi kaum masih subur di negeri ini dan harus ataupun mesti kita pelihara selama-lamanya.”
Shahelmey turut menekankan bahawa menyambut pelbagai perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baharu Cina, dan Kaamatan secara bersama bukan sahaja mengeratkan hubungan sosial, malah ia menjadi asas kepada kestabilan pentadbiran negeri.
“Tidak kira apa perayaan sekalipun, kita raikan bersama-sama. Kita eratkan jalinan persahabatan, persaudaraan dan perpaduan ini supaya ia menjadi kunci kepada kekuatan kita di negeri ini khususnya, dan di negara kita secara amnya. Apabila perpaduan itu kukuh, maka apa juga agenda pembangunan serta dasar-dasar yang digariskan oleh kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan lebih efektif,” katanya.
Tinjauan Sabah Media mendapati ada pengunjung yang hadir seawal jam 8 pagi walaupun majlis rasmi hanya bermula pada jam 10 pagi, yang menunjukkan sambutan hangat dan keterujaan orang ramai terhadap acara tahunan itu.
Sebanyak 72 gerai makanan menyajikan pelbagai juadah Raya seperti Raya termasuk hidangan tradisi lemang, ketupat dan sate serta pelbagai jenis kuih-muih kepada pengunjung pada majlis kali ini.
Dalam pada itu, buat julung kalinya, tujuh teratas Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) Peringkat Kebangsaan 2024 turut hadir pada rumah terbuka ini, yang biasanya hanya dihadiri oleh pemenang atau tiga teratas.