KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) Sabah mengeluarkan amaran keras susulan penemuan seekor gajah pygmy Borneo yang mati tanpa kepala di Tawau baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Christina Liew menegaskan bahawa sebarang bentuk kekejaman dan pemburuan haram terhadap hidupan liar yang dilindungi di Sabah tidak akan dikompromi.
“Kami tidak akan berkompromi dalam usaha mengenal pasti pelaku jenayah ini, mendakwa mereka sehabis-habisnya mengikut undang-undang, dan memastikan mereka bertanggungjawab sepenuhnya.
“Kementerian amat memandang serius penemuan gajah pygmy Borneo tanpa kepala di Tawau, apatah lagi ini merupakan kes kedua dalam tempoh masa yang singkat memberi gambaran wujudnya pemburuan haram yang berulang di negeri ini,” katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.
Menurut Christina, Jabatan Hidupan Liar Sabah telah memulakan siasatan serta-merta, selain melaksanakan tindakan penguatkuasaan lebih ketat termasuk operasi bersepadu dan sekatan jalan raya bersama agensi keselamatan lain di lokasi strategik bagi membendung aktiviti haram berkenaan.
Beliau turut menekankan insiden terbaharu ini menimbulkan keperluan mendesak untuk meningkatkan kerjasama antara agensi penguatkuasaan, komuniti setempat dan orang awam.
“KePKAS menyeru semua pihak tampil menyalurkan sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan dan terus komited dalam melindungi biodiversiti unik negeri Sabah,” katanya.
Tambah beliau, jumlah kes seumpama ini dilihat semakin meningkat sejak suku terakhir tahun 2024.
“Oleh itu, kita menyeru agar wujud kerjasama lebih erat dan tindakan bersepadu antara semua agensi penguatkuasaan, pemuliharaan dan keselamatan sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan bagi mengekang ancaman ini secara menyeluruh dan mengelakkan kehilangan spesies terancam kita yang lebih parah,” ujarnya.
Christina turut mengingatkan bahawa gajah pygmy Borneo adalah spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997, dan sebarang kesalahan terhadap spesies ini boleh membawa hukuman berat termasuk denda besar serta penjara.
“Dengan anggaran hanya 1,500 hingga 2,000 ekor yang masih wujud di habitat liar, setiap kehilangan amat memberi kesan terhadap usaha pemuliharaan yang sedang dijalankan,” tambahnya.